Tuesday, April 26, 2016

Jangan Ambil Mudah Atas Kelemahan Pembangkang – Hishammuddin

http://www.1malaysianews.com/wp-content/uploads/2014/03/Datuk-Seri-Hishamuddin-Hussein.jpg
KUALA LUMPUR : Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) agar tidak mengambil mudah atas tiada kesepakatan pihak pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Beliau berkata jentera BN tetap perlu bekerja keras, manakala calon pula perlu mengetengahkan diri mereka agar rakyat terus yakin terhadap parti berkenaan.

“Jangan kita harapkan kelemahan parti pembangkang sebagai kekuatan untuk kita. Ini bukan cara BN dan bukan cara kita boleh menang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pertembungan antara PKR dan DAP di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-11.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata jentera BN juga perlu memastikan pengundi di Sarawak supaya keluar menunaikan tanggunjawab mereka pada 7 Mei ini.

Katanya pertembungan antara rakan sekutu pembangkang itu membuktikan keretakan dalam kalangan parti pembangkang kerana mereka tidak mempunyai haluan yang sama dan jelas.

PRN Sarawak menyaksikan perebutan 82 kerusi DUN, termasuk 11 kerusi baharu, dengan 1.14 juta pemilih berdaftar layak untuk mengundi.

Bagaimanapun, semasa proses penamaan calon semalam, BN menang tanpa bertanding di dua kerusi – Bukit Sari dan Bukit Kota.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment