Thursday, April 28, 2016
#PRNSarawak : Saya Dan Tok Nan Telah Membuat Akujanji Untuk Membawa Lebih Banyak Lagi Pembangunan Untuk Sarawak
Barisan Nasional (BN) memerlukan mandat rakyat
Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang untuk meneruskan agenda
pembangunan yang masih belum selesai, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata agenda itu tidak boleh diselesaikan dalam
tempoh singkat, dan ia memerlukan perancangan rapi oleh kerajaan pusat
dan negeri.
“Justeru, dalam pilihan raya Sarawak ini, penting bagi rakyat terus
memberi sokongan kepada BN khususnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri
Tan Sri Adenan Satem bagi mendapatkan mandat dan meneruskan pembangunan.
“Sarawak akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
Semenanjung Malaysia. Oleh itu, saya komited untuk meluluskan pelbagai
peruntukan dan melaksanakan projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan
Borneo dan sebagainya di Sarawak sebelum ini,” katanya.
Najib berucap selepas melakukan tinjauan mesra di Sekolah Kebangsaan
St Jude Bunan di sini, kira-kira 80km dari Kuching, Khamis. Turut hadir
Anggota Parlimen Serian yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri
Richard Riot Jaem dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kedup, Martin Ben.
Najib menarik perhatian bahawa kerajaan komited dalam menunaikan
janji agenda pembangunan yang digariskan, dan ia bukan janji kosong
seperti yang ditawarkan pembangkang.
“Janganlah termakan dengan janji pembangkang. Rakyat tidak mahu janji
kosong pembangkang. Janji mesti ditepati. Siapa boleh tepati?” soalnya
sambil disambut jeritan ‘BN’ oleh orang ramai.
Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan bangunan
baharu Gereja St Jude di sebelah sekolah itu, selain peruntukan tambahan
RM1 juta daripada kerajaan negeri.
“Inilah RM2 juta antara kerajaan pusat dan negeri melambangkan
kerjasama yang erat BN. Saya percaya kita berlaku adil atas prinsip
kebebasan beragama di negara ini.
“Kerajaan BN menghormati budaya dan agama setiap kaum di negara kita,” katanya.
Beliau berkata antara dasar yang telah dilaksanakan oleh Adenan dalam
tempoh dua tahun ini, termasuklah pemansuhan tol jalan raya dan cukai
tanah pertanian serta pengurangan cukai pintu perumahan yang telah
memberikan impak besar kepada rakyat.
“Saya dan Tok Nan (Adenan) telah membuat aku janji untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan untuk Sarawak,” katanya.
Najib berkata perbalahan semakin ketara dalam kalangan parti
menganggotai pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kali
ini, seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat untuk terus memilih
Barisan Nasional (BN) memimpin Sarawak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment