Thursday, April 28, 2016
Felda Menang Saman… Cukup-cukuplah Pembangkang Tabur Fitnah – MBFM
KUALA LUMPUR : Presiden Majlis Belia Felda (MBFM), YB Anuar
Abd. Manap percaya pembangkang tidak akan serik biarpun beberapa kali
fitnah serta pembohongan mereka bukan sahaja kantoi malah memakan diri
setelah kalah dalam proses undang-undang terutama tohmahan terhadap
agensi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Menurut beliau yang terbaru keputusan yang berpihak kepada Felda
berhubung saman agensi berkenaan terhadap Presiden Persatuan Anak
Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan sebuah syarikat
penerbitan membuktikan bahawa segala tohmahan mereka sebelum ini jelas
hanya ingin mengaut keuntungan politik semata-mata.
“Malah
sebelum ini juga jika tidak silap Felda dan syarikat pelaburannya
menang saman fitnah terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan dua yang lain. Jadi ini menunjukkan kepada masyarakat umum
bagaimana permainan politik mereka.
“Fitnah dan tohmahan mereka dilihat sekadar cuba menimbulkan persepsi
kepada warga Felda khususnya kononnya kerajaan yang ada hari ini tidak
prihatin serta tidak bertanggungjawab terhadap warga berkenaan.
“Jadi kita amat berharap apa yang berlaku itu menjadi pengajaran yang
amat bermakna kepada mereka dan jangan sesekali cuba membawa perkara
yang tidak benar kepada warga peneroka khususnya,” katanya kepada
media, di sini, hari ini.
Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang seterusnya menegaskan sebagai
generasi muda di dalam Felda beliau amat bersyukur kerana akhirnya
segala fitnah dan tohmahan terhadap agensi terbabit akhirnya terjawab.
“Sebagai generasi muda kita berharap perkara-perkara seperti ini
tidak lagi dibawa di dalam masyarakat peneroka. Cukup-cukuplah mereka
didendangkan dengan pelbagai berita yang tidak benar dan tidak tepat.
“Felda sebenarnya telah banyak membantu warga peneroka dan khidmat
bakti itu akan tetap kita kenang. Janganlah lagi mengulangi perkara
seperti ini. Kepada pembangkang di luarr sana, ambillah segala yang
berlaku sebagai pengajaran dan kepada warga peneroka lihatlah kebenaran
yang terpampang di depan mata kita semua hari ini.
“Lepas satu-satu mereka cuba burukkan agensi Felda tetapi
Alhamdulillah satu persatu pula yang akhirnya terpancul kebenaran,”
katanya.
Presiden Anak Mazlan Aliman dan sebuah syarikat hari ini terpaksa
membayar ganti rugi RM350,000 kepada Felda kerana memfitnah lembaga itu
dalam sebuah buku.
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Su
Geok Yiam yang menolak permohonan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise
Sdn Bhd selaku defendan untuk menangguhkan perintah pembayaran ganti
rugi itu.
Pada 29 Mei 2015, mahkamah itu memerintahkan Mazlan dan Angkatan
Edaran Enterprise, yang menerbitkan buku “FELDA…Dulu Tolong Sekarang Ah
Long” membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM350,000
serta kos guaman sebanyak RM150,000 kepada Felda.
Felda memfailkan saman terhadap Mazlan dan penerbit buku itu pada 20
Julai 2009 selepas mendakwa tajuk buku tersebut membawa maksud Felda
adalah Along atau pemberi pinjaman wang haram dengan kadar faedah yang
terlampau tinggi.
Sebelum ini juga dilaporkan, Felda dan syarikat pelaburannya, Felda
Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) menang saman fitnah terhadap
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain.
Felda dan syarikat pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn
Bhd memfail saman terhadap Dr Wan Azizah, bekas Timbalan Presiden PKR,
Dr Syed Husin Ali; Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dan Rusnizam
Mahat yang menulis artikel itu atas dakwaan menyiarkan dua artikel
memfitnah Felda dalam akhbar berkenaan.
Felda mendakwa artikel bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan
RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ menjejaskan imej mereka yang
disiarkan pada 22 dan 29 Jun 2010.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment