Thursday, April 28, 2016
Jalan Rosak : Kerajaan Negeri Buta Mata Pekak Telinga
SHAH ALAM : Pengguna di Subang Bestari Seksyen U5 di sini sudah hampir
hilang sabar dengan sikap kerajaan negeri yang ‘buta mata pekak telinga’
dengan masalah kerosakan jalan di kawasan itu.
Menurut mereka, sudah lima tahun jalan di kawasan itu rosak dan aduan
juga sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil untuk membaikinya.
Jalan di Persiaran Atmosfera tersebut bukan setakat rosak, malah
lopaknya boleh menjadi ‘kolam ikan’ setiap kali hujan lebat sehingga
mengundang bahaya kepada pengguna
Seorang pengguna, Othman Ali, 53, berkata, Persiaran Atmosfera merupakan
jalan utama yang menghubungkan persimpangan Lebuh Raya Guthrie dan Kota
Damansara.
“Saya tidak faham kenapa pihak berkuasa tempatan membiarkan jalan ini
rosak teruk sedangkan ini merupakan utama keluar masuk ke kawasan ini.
“Tengoklah jalan itu, lubang sedalam 2 kaki pun ada, tiada saliran
longkang dan air akan bertakung walaupun hujan tak sampai setengah jam.
Bukan sahaja nyawa penduduk terancam tetapi boleh merosakkan kenderaan
yang melaluinya,” luahnya dengan perasaan geram.
Bagi Sharul Kamal Mustafa, 31, dia kecewa dengan pihak berkuasa
tempatan yang seolah-olah buta dan sengaja buat tidak nampak dengan
nasib pengguna jalan tersebut.
“Saya kecewa dengan PBT yang langsung tidak memperdulikan keadaan jalan
ini. Mustahil mereka tak tahu sedangkan Kompleks Pejabat Daerah Petaling
hanya 400 meter dari jalan ini,” katanya dengan kesal.
Apa yang mengecewakan, menurut Sharul Kamal, Persiaran Atmosfera ini
merupakan jalan utama dan di situ terletaknya Kompleks Pejabat Kerajaan
Daerah Petaling dan Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
“Sudah tentu ramai orang luar menggunakan jalan ini setiap hari untuk
menyelesaikan urusan mereka di sini. Jadi saya masih tidak faham kenapa
pihak kerajaan PKR ini sanggup menyeksa rakyat dengan membiarkan jalan
ini rosak teruk,” katanya lagi.
Dzuraimi Md Amin, 49, pula berkata, jalan rosak ini telah mengundang banyak kemalangan sehingga berlakunya kemalangan maut.
Dzuraimi menjelaskan, ada pengguna jalan raya di sini mengambil tindakan
sendiri untuk memasuki laluan arah bertentangan yang menyebabkan risiko
tinggi berlakunya kemalangan.
“Kebanyakan penduduk di sini tidak akan melalui laluan jalan rosak ini.
Mereka akan melalui jalan berlawanan arus di sebelah sana. Jadi jalan 2
lorong akan menjadi selorong. Ini menyebabkan boleh berlaku kemalangan
terutamanya kepada mereka yang pertama kali melalui jalan ini,” katanya.
Tambah Dzuraimi, kemalangan terbaru berlaku 19 April yang lalu melibatkan sebuah motorsikal dengan kereta.
“Sangat mendukacitakan. Anak kepada penunggang motorsikal itu tercampak
dan sekarang mengalami patah 2 kaki dan pinggul,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, Dzuraimi berharap pihak Kerajaan PKR Selangor
dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera demi kesejahteraan
penduduk di sini.
“Sudah semestinya isu ini diselesaikan segera. Menteri Besar jangan
‘double standard’ untuk memperdulikan nasib rakyat di sini. Walaupun
wakil rakyat di sini dari Barisan Nasional, tapi DUN.
Kota Damansara ini
bukan terletak di luar Selangor,” luahnya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment