Thursday, April 28, 2016

Semua Calon BN ‘Pasukan Adenan’ Terdiri Mereka Yang Berintegriti Tinggi – Abang Johari

http://www.ismaweb.net/wp-content/uploads/2014/02/Abang-Johari.jpg
KUCHING : Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata semua calon Barisan Nasional (BN) atau lebih dikenali sebagai ‘Pasukan Adenan’ yang akan bertanding pada Pilihan raya Negeri Sarawak pada 7 Mei ni terdiri daripada mereka yang berintegriti tinggi.

Katanya kesemua calon sama ada daripada parti komponen mahupun calon langsung BN telah ditapis termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya mereka yang telah dipilih akan memainkan peranan masing-masing untuk ‘Pasukan Adenan’ dan ia bukan hanya untuk menang tetapi bersama-sama membangunkan Sarawak,” katanya.

Mengenai parti pembangkang, Abang Johari yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok mempertikaikan kemampuan mereka melaksanakan janji-janji dalam manifesto mereka kerana rakyat sendiri dapat melihat bagaimana mereka bertelagah sesama sendiri dalam soal pembahagian kerusi dalam pilihan raya negeri kali ini.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak memberitahu Kerajaan negeri Sarawak mempunyai rancangan membina rumah berharga bawah RM300,000 bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata cadangan tersebut adalah antara usaha BN Sarawak bagi membantu kelas pertengahan ini.

Katanya susulan harga rumah yang tinggi di kawasan bandar, maka ia memerlukan intervensi kerajaan negeri bagi membela nasib golongan ini untuk memiliki rumah. Usaha ini tambah beliau lagi adalah perlu kerana dasar yang sedia ada lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

“Kita sudah ada dasar untuk membina rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah tetapi untuk golongan berpendapatan pertengahan tidak ada,” katanya. Jelas beliau antara kaedah yang sedang difikirkan ialah menyediakan kemudahan pinjaman perumahan melalui institusi kewangan milik kerajaan untuk golongan ini.

Menurutnya, BN sentiasa komited memastikan pembangunan di Sarawak dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana golongan rakyat.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment