Thursday, April 28, 2016

#PRNSarawak : Percayakah Dayak kepada DAP?

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/11/lim-kit-siang.gif
Seorang menggunakan perkataan ‘autonomi’ kepada PKR Sarawak untuk buat keputusan.
Yang seorang lagi ‘pandai-pandai’ pula membawa ungkapan ‘pertandingan mesra’.

Waima apa pun istilah dilontarkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjustifikasikan pertembungan sesama sendiri calon-calon mereka berdepan Barisan Nasional (BN), kira-kira 1.13 juta pengundi sudah semakin ‘buka mata’.

Sebenarnya DAP dan PKR sudah ‘terpukul’ awal-awal lagi apabila dua kerusi diragut secara percuma oleh BN.

Padahal ini bukan zaman 60-an dan 70-an yang mana menyaksikan sehingga 16 kerusi dimenangi tanpa bertanding di negeri itu tatkala jumlah seluruh kerusi rebutan cuma di bawah 50.

Ini juga bukan tahun 2006 ketika kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro dan Dalat dimenangi tanpa bertanding oleh BN, yang kemudian berjaya dipulihkan pembangkang pada 2011 menyaksikan kesemua 71 kerusi ditandingi mereka. Ini era digital yang tidak sepatutnya wujud masalah komunikasi buat keputusan dalam kalangan parti pembangkang. 

Masuk peringkat kedua, nah! benar-benar terserlah kelemahan DAP-PKR dengan bertembung dan berkelahi sesama sendiri di Mambong, Simanggang, Murum, Mulu, Ngemah dan Batu Kitang.

Kesemua kawasan ini kerusi Dayak. Kerusi-kerusi ini didiami orang Bidayuh, Iban dan Orang Ulu. Masyarakat Dayak bukannya tidak boleh berfikir. Mereka faham DAP barang kali merasakan telah mencapai tahap maksimum sokongan di kesemua 15 kerusi Cina, maka secara psikologi berkehendakkan sangat menerobos kerusi-kerusi Dayak.

Mahu test market barang kali. Sedangkan PKR telah pun me­nyemai ‘benih’ sejak bertahun-tahun di kawasan-kawasan terbabit. Kalau diberi ruang kepada DAP, tentu pemimpin dan ahli akan kecewa.
Tetapi percayakah pengundi Dayak kepada DAP? Dayak masih meragui pembawaan cauvinis DAP sedangkan DAP amat terdesak untuk keluar dari ‘wilayah imej kecinaan’.

Daripada 31 kerusi ditandingi, 16 adalah kerusi Dayak. Ini persediaan paling praktikal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Sebab itu DAP tidak bimbang ke medan perang ‘meninggalkan’ kubu kuat 15 kerusi Cina ‘deposit tetap’ itu.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment