Monday, April 04, 2016

Dedah Tender Penjualan Tanah Taman Manggis

Kerajaan DAP Pulau Pinang dicabar mendedahkan tender terbuka penjualan tanah Taman Manggis yang mencetuskan kontroversi serta menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo berkata, tindakan itu akan membolehkan orang awam menilai isu berkenaan termasuk pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng secara lebih rasional.

Menurut beliau, pihaknya hari ini sekali lagi cuba mendapatkan dokumen itu untuk membuat analisis tentang penjualan tanah berkenaan serta isu pembelian rumah banglo oleh Guan Eng dengan lebih adil.

Namun, ujarnya, usaha itu menemukan jalan buntu berikutan syarat ketat yang diletakkan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Mereka (kerajaan negeri) mahu saya menandatangani akuan bersumpah (SD) dan setelah dokumen itu diserahkan, saya tidak boleh mendedahkannya kepada pihak ketiga.

“Syarat lain yang ditetapkan termasuk membuat bayaran RM150 telah saya patuhi, namun saya enggan menandatangani SD berkenaan kerana dapatan daripada dokumen berkenaan perlu dikongsi bersama rakyat yang turut mempunyai kepentingan dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

Kontroversi tanah di Taman Manggis kembali hangat selepas dikaitkan dengan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, Jelutong di sini yang dikatakan pada harga luar biasa murah.

Tanah di Taman Manggis itu sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) tetapi dijual oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pemaju swasta bagi pembinaan komersial bercampur terdiri daripada hospital swasta dan hotel.

Selain itu, tanah di Taman Manggis itu juga mencetuskan kontroversi selepas turut didakwa dijual terlalu murah iaitu hanya RM11 juta sedangkan terdapat tawaran daripada Barisan Nasional (BN) untuk membelinya pada harga lebih RM20 juta.

Sementara itu, Jason turut mempersoalkan dasar ketelusan yang sering dicanang Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini kerana mengambil pendekatan berbeza berhubung dokumen penjualan tanah Taman Manggis yang dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan fakta. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment