Sunday, April 03, 2016
Shabudin Kemuka Bukti, Bidas Dakwaan Guan Eng
BUTTERWORTH : Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hari ini,
membidas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa agensi itu
menjual tanah di Tok Keramat, Seberang Prai Selatan (SPS), bawah harga
pasaran.
Pengerusi PERDA, Datuk Shabudin Yahaya, berkata Guan Eng terlalu
terburu-buru dalam isu itu, serta dinasihatkan supaya melihat perkara
berkenaan dalam skop lebih luas dan bukan hanya membuat perbandingan
harga semata-mata.
Shabudin berkata, tanah berkenaan dipecah kepada beberapa lot kecil
sebanyak 240 lot yang diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang untuk
membina rumah kos rendah pada 1988.
"Projek pembangunan ini sudah terbengkalai sejak 30 tahun lalu kerana
masalah mendapan. Malah, sebanyak 107 rumah fasa 1 yang sudah dibina di
terpaksa dirobohkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas membuat kos analisa keuntungan, projek ini
dilihat sebagai liabiliti untuk dibangunkan yang mana PERDA akan
menanggung kerugian sebanyak RM10 juta jika diteruskan.
"PERDA
memutuskan bahawa hasil jualan tanah itu hendaklah digunakan untuk
membeli tanah ganti di dalam kawasan SPS dan terkini kami sudah pun
berurusan untuk membeli sebidang tanah berkeluasan 4.8 hektar untuk
membina lebih banyak rumah kos rendah," katanya.
Mengulas lanjut, Shabudin berkata, PERDA sedia maklum mengenai mengenai
nilai semasa tanah berkenaan, tetapi nilai semasa didakwa Guan Eng itu
adalah nilai sekitar.
Justeru, PERDA menjual tanah ini dengan meletakkan syarat kepada pemaju
supaya membangunkan lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik
berharga RM42,000 hingga RM72,000 selain tidak boleh melebihi RM200,000.
"Oleh itu hendaklah difahami bahawa nilaian keuntungan RM15 juta yang
sepatutnya diperoleh PERDA diagihkan faedahnya kepada 250 pembeli
melalui harga jualan rumah yang jauh lebih rendah.
Tindakan itu selari dengan peranan PERDA untuk membantu rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan, katanya.
Beliau berkata, sekiranya PERDA menjual tanah berkenaan mengikut nilai
semasa maka rumah yang dibina akan dijual pada harga antara RM400,000
hingga RM500,000.
Semalam, Guan Eng meminta Shabudin memberi penjelasan berhubung penjualan tanah awam milik PERDA pada harga di bawah pasaran.
Katanya, proses penjualan tanah di SPS itu dilakukan pada tahun lalu
dengan tarikh penukaran hak milik pada 28 Jun 2015 dengan nilai lebih
RM1.4 juta.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment