Monday, April 04, 2016
UMNO Terengganu Isytihar 2016-2017 Sebagai ‘Tahun Perang’
KUALA NERUS : UMNO Terengganu mengisytiharkan
2016-2017 sebagai ‘Tahun Perang’ sebagai persediaan menghadapi pilihan
raya umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abdul
Rahman berkata UMNO negeri sedang mengatur strategi untuk memenangi
semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kawasan Parlimen
pada PRU nanti.
“UMNO negeri akan mengagihkan bantuan kewangan kepada cawangan-cawangan bagi persiapan bilik gerakan atau membina markas-markas pilihan raya
serta menyediakan apa saja keperluan melibatkan RM5,000 setiap cawangan.
“Ini menunjukkan kesungguhan Badan Perhubungan UMNO untuk menghadapi PRU kerana merasakan ini merupakan masa terbaik untuk merapatkan semula
saf kepimpinan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis
perjumpaan khas kepimpinan akar umbi UMNO negeri di sini hari ini.
Sebanyak 4,401 pemimpin peringkat bahagian, cawangan, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menghadiri perjumpaan itu.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Serikandi ke-29 di Besut, Ahmad Razif berkata rakyat Terengganu
dilihat semakin matang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai isu
dibangkitkan pihak tertentu bagi menimbulkan rasa tidak puas hati
terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Besar Terengganu itu berkata tinjauan dibuatnya mendapati
isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma berjumlah
RM2.6 bilion kepada perdana menteri tidak mengikis kepercayaan rakyat
negeri ini terhadap kepimpinan negara.
“Rakyat Terengganu dilihat lebih memilih untuk ambil tahu mengenai
isu-isu mempertingkatkan kehidupan mereka daripada isu-isu yang sia-sia
seperti yang ditimbulkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan
peribadi,” katanya.
Ahmad Razif yakin dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh rakyat
itu, Terengganu akan terus dikuasai Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan
datang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment