Tuesday, April 05, 2016
Azalina Nafi Kata WSJ Tidak Patut Disekat
KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Azalina Othman Said menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Wall
Street Journal (WSJ) tidak patut disekat dan mendakwa portal berita
Malaysiakini tersalah petik kenyataannya.
Azalina dalam satu kenyataan berkata kenyataan beliau dalam artikel
bertajuk “Azalina : Shouldn’t Block WSJ, M’sia Not A Communist Nation,”
dibuat secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana media atau agensi
berita.
“Saya menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan
bukannya komunis, saya merujuk kepada kebebasan bersuara dan tidak
mengaitkannya kepada mana-mana agensi berita secara spesifik,” kata
beliau.
Azalina berkata kerajaan pada hari ini telah menunjukkan tahap
toleransi yang tinggi dan menerima kritikan daripada semua pihak
terutamanya media sosial.
“Ini sememangnya penting dengan kebangkitan media sosial yang mana
rakyat boleh mengkritik pemimpin kami secara terbuka di Facebook,
Instagram, Twitter, blog dan sebagainya.
Ini menunjukkan kerajaan bersedia menerima sebarang kritikan selagi ia bersifat membina,” katanya.
Azalina berkata ulasan beliau adalah berasaskan kebebasan bersuara
dan bukannya menyekat atau tidak menyekat agensi berita tertentu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment