Monday, April 04, 2016

Dana Pendidikan Anak Melayu Dilancar

http://www.newsarawaktribune.com/upload/images/np1447632441.jpg
Tabung Lonjakan Pendidikan Melayu dan Bumiputera (Tanjak) yang ditubuhkan untuk mengumpul dana bagi keperluan pendidikan anak Melayu dan bumiputera dilancarkan secara rasminya, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif­ Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, tabung itu diwujudkan bagi mempergiatkan lagi pengumpulan dana bagi memperbaiki standard pendidikan Melayu dan bumiputera dalam semua bidang.

“Jika sebelum ini melalui YPM kita hanya dapat membantu seramai 100,000 pelajar dalam setahun, dengan adanya Tanjak kita berharap jumlah itu mampu mencecah hingga 500,000 pelajar setahun.

“Bagaimanapun, untuk mencapai jumlah tersebut, Tanjak memerlukan kira-kira RM70 juta hingga RM100 juta setahun,” katanya dalam Majlis Pelancaran Tanjak yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, Tanjak juga membudayakan penabungan untuk generasi akan datang secara kolektif dan berterusan serta membentuk platform hubungan kerjasama strategik bersama penyumbang.

“Tabung ini akan membuka ruang dan peluang kepada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu untuk menyumbang bersama YPM ke arah pembangunan pendidikan.

“Saya percaya dan yakin usaha murni ini bakal mencetuskan fenomena yang baharu dalam dunia sistem pendidikan di Malaysia. Diharap apa yang dilakukan ini memberi inspirasi kepada semua dalam memartabatkan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera serta mampu merealisasikan impian anak bangsa kita,” ujarnya.

Tambah Abdul Karim, menerusi Tanjak, penyumbang layak diberikan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Syarikat korporat, syarikat milik kerajaan (GLC) dan individu yang ingin memberikan sumba­ngan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 14041010080877 atas nama Tabung Tanjak; bayar secara tunai di kaunter YPM dan internet banking http://edonation.ypm.org.my.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment