Monday, April 04, 2016

Pengukuhan Ringgit Atasi Ramalan Penganalisis

http://assets.bharian.com.my/images/articles/ragookk.transformed.jpg
Ringgit yang mula mencecah bawah RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berjaya me­ngatasi ramalan penganalisis-peng­analisis ekonomi yang sebelum ini menjangka mata wang itu akan kekal melebihi RM4 sepanjang tahun ini.

Pada penutupan hari ini, ringgit terus mengukuh kepada RM3.8915 berbanding dolar daripada penutupan semalam RM3.9020 meneruskan trend pengukuhan yang bermula sejak awal Mac lalu apabila harga minyak dunia kembali me­lonjak.

Menurut firma penyelidikan MIDF Research, ringgit kini berada pada kedudukan terbaiknya dalam tempoh tujuh bulan, didorong oleh peningkatan berterusan harga mi­nyak dunia, kembalinya pelabur-pelabur asing ke pasaran saham tempatan dan langkah tidak drastik AS di pasaran kewangannya.

“Dengan pengukuhan yang berlaku, kami jangka ringgit menghampiri paras RM3.70 hingga RM3.80 berbanding dolar. Sepanjang tahun ini, ringgit telah mengukuh 10.1 peratus berbanding dolar iaitu pe­ningkatan terbaiknya dalam tempoh 43 tahun,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya.

Jelas MIDF Research lagi, paras ringgit bagaimanapun dijangka tidak melonjak secara berte­rusan tahun ini memandangkan ikatan mata wang tersebut dengan perubahan harga minyak.

“Kami tidak menjangkakan pa­rasnya akan terus meningkat kerana harga minyak dunia dipercayai tidak akan melepasi AS$60 (RM234) setong tahun ini,” menurut firma itu.

Sehingga awal hari ini, harga minyak berlegar sekitar AS$39.60 (RM154) setong menyusut daripada AS$40 (RM156) setong yang dicatatkan beberapa hari lalu.

Ketua Penganalisis Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata, mata wang Malaysia meraih sepenuhnya manfaat hasil kenaikan harga minyak dunia kerana pemulihan harga komoditi akan memulihkan sentimen pelabur terhadap negara-negara berkembang maju.

“Ia membolehkan ringgit pulih secara psikologinya setelah menjunam teruk sejak awal 2015. Kami melihat ringgit akan berlegar antara RM3.98 hingga RM4.14 berbanding dolar,” katanya.

Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Bhd., Datuk Dr. Mohd. Nazri Khan Adam sebelum ini berkata, pengukuhan ringgit itu juga merupakan isyarat yang baik kepada ekonomi negara.

“Selera risiko oleh pelabur-pelabur asing terhadap pasaran saham negara semakin baik. Tidak mustahil jika ringgit akan terus meningkat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada media.

Tambah Mohd. Nazri, kemba­linya pelabur-pelabur asing itu turut digambarkan dengan peningkatan indeks utama Bursa Malaysia, KLCI apabila kembali berlegar melebihi 1,700 mata.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment