Monday, April 04, 2016
Kadar GST Kekal, PM Nafi Dakwaan DAP Sarawak
MIRI : Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk
menaikkan kadar semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak
enam peratus selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN).
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap
Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kadar GST genap setahun
dilaksanakan itu akan kekal pada masa ini.
Beliau menyifatkan dakwaan DAP Sarawak bahawa kerajaan akan menaikkan
kadar GST kepada sekurang-kurangnya 10 peratus jika Barisan Nasional
(BN) menang besar dalam PRN-11.
Semalam, Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen mendakwa langkah itu
akan diambil susulan kejatuhan harga minyak dunia dan kehilangan
berterusan hasil kerajaan.
“Tidak ada rancangan untuk menaikkan kadar GST di Sarawak atau
mana-mana tempat di Malaysia,” kata Najib ketika mengucap pada majlis
bertemu rakyat di Kelab Golf & Country Eastwood, di sini, malam ini.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri, Tan
Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu serta anggota barisan
Kabinet negeri.
Najib berkata walaupun harga minyak jatuh di pasaran dunia, kerajaan
akan mencari sumber lain bagi membiayai program pembangunan negara.
Katanya pembangkang cuba mengeksploitasi isu GST bagi membuat rakyat benci terhadap kerajaan.
Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan
retorik dan propaganda pembangkang bahawa GST membebankan rakyat dan
tanpanya kerajaan tidak mampu membina lebih banyak sekolah, hospital
atau pusat kesihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar di Sarawak.
“Kita tidak mengejar untuk menjadi kerajaan populis. Kami sentiasa cuba melakukan perkara yang betul untuk rakyat,” katanya.
Najib berkata rakyat tidak boleh menukar kerajaan sedia ada secara
tidak berperlembagaan menerusi demonstrasi jalan atau pungutan suara
tetapi kaedah terbaik ialah menerusi peti undi.
Pada majlis itu, perdana menteri mengumumkan geran kerajaan berjumlah
RM350 juta untuk menaik taraf Hospital Miri secara berperingkat di
bawah Rancangan Malaysia ke-11.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada 11 April ini bagi membolehkan PRN-11 diadakan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment