Monday, April 04, 2016
Kejayaan Khairul Idham Membanggakan – Najib
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan
Khairul Idham Pawi sebagai pelumba Malaysia pertama yang memenangi
Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal
Argentina merupakan kejayaan yang membanggakan.
“Tahniah Khairul Idham Pawi mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia
pertama menang Kejohanan #ArgentinaGP kategori Moto3.Kejayaan yang
membanggakan,” kata perdana menteri dalam laman Twitter beliau hari ini.
Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia ini mencatat
masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio
Hondo.
Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella
Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull
KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622
saat dan 42’5.512 saat.
Najib turut melahirkan rasa kagum dengan semangat seorang lagi
penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team
yang menduduki tangga ke-11 walaupun terjatuh di selekoh akhir
perlumbaan.
“Walaupun jatuh ketika bersaing untuk tempat kedua, tetap bangkit dan
tamatkan perlumbaan di tempat ke-11 #ArgentinaGP,” kata beliau.
Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 mata untuk
berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan
lima mata selepas pusingan kedua kejohanan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment