Monday, April 04, 2016
Jerebu – 83 Sekolah Ditutup Di Sabah Hari Ini Dan Esok
TAMPARULI : Enam lagi sekolah rendah dan menengah di Sabah
ditutup hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup
bertambah kepada 83 sekolah berbanding 77 sekolah yang diumumkan sebelum
ini.
Pemangku Pengarah Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul berkata
keseluruhan 83 sekolah yang terletak di daerah Beaufort, Papar, dan
Kuala Penyu itu juga akan ditutup pada hari esok.
“Jumlah itu melibatkan 53 sekolah di daerah Beaufort, Papar (16) dan
Kuala Penyu (14) dengan seramai 22,782 pelajar terjejas akibat tahap
jerebu tidak sihat yang melanda daerah itu,” katanya kepada pemberita
selepas melancarkan Kem Membaca 1Malaysia 2016 peringkat negeri Sabah di
sini hari ini.
Maimunah berkata jika ada sekolah lain di tiga daerah terbabit, yang
turut terjejas akibat jerebu, pihak atasan sekolah boleh mengambil
keputusan untuk menutup sekolah dengan memaklumkan terlebih dahulu
kepada pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri.
Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di tiga daerah terbabit adalah tinggi pada jam 6
pagi tadi iaitu 223.
“Kami akan terus membuat pemantauan jerebu, dan jika, esok bacaan IPU
menurun (di tiga daerah terbabit), kemungkinan sekolah dibuka semula
pada keesokan harinya (6 April). Kita berharap (jerebu) tidak berpanjang
kerana ia akan mengganggu sesi pembelajaran,” katanya.
Maimunah berkata buat masa ini belum ada sekolah di kawasan Kota
Kinabalu ditutup berikutan jerebu yang masih berada pada tahap
sederhana.
Bagaimanapun, katanya, jika ada pelajar yang menghidapi penyakit asma
akibat jerebu, pihak sekolah diminta menghantar pelajar itu ke hospital
atau klinik berdekatan dan menghubungi ibu bapa untuk mengambil mereka
di sekolah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment