Monday, April 04, 2016
APMM Pastikan Perairan Negara Bebas Pencerobohan Kapal Asing – Shahidan
KUALA LUMPUR : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
dan agensi berkaitan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan
perairan negara bebas daripada pencerobohan bot dan kapal nelayan asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
sehingga tengah hari ini, pemantauan daripada tiga kapal APMM dan
pesawat bombadier mendapati tiada bot nelayan asing di kawasan Zon
Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.
“Daripada posisi aset, tiada bot nelayan asing dikesan setakat pukul
12 tengah hari ini…aset kami akan memantau secara berterusan situasi
ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Katanya kerajaan tidak akan bersikap pilih kasih terhadap nelayan
yang cuba melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Sebelum ini, ada tangkapan dilakukan terhadap nelayan asing seperti
Indonesia, Vietnam serta China jika mereka didapati melakukan aktiviti
menangkap ikan di ZEE negara.
“Dalam perkembangan sekarang, jika terdapat kapal asing, kapal kita
akan memeriksa jika ada aktiviti menangkap ikan. Jika memang mereka
menangkap ikan, kita akan tangkap dan jika tidak, kita akan beri amaran
dan usir,” katanya.
Pada 24 Mac lalu, Shahidan mendedahkan kira-kira 100 bot dan kapal
dari China dikesan menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali
di Laut Cina Selatan.
Beliau berkata ekoran pencerobohan itu kerajaan telah mengerahkan aset APMM untuk memantau keadaan di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, kapal peronda APMM KD Adil juga dilaporkan mengalami
kerosakan akibat dilanggar bot nelayan dalam cubaan melarikan diri
selepas diusir.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment