Monday, April 04, 2016
Pemuda BN Yakin Politik Kebencian Pembangkang Tiada Tempat Di Sarawak
KUALA LUMPUR : Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin
politik kebencian yang cuba disebarkan pembangkang dalam usaha menembusi
Sarawak sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sarawak ke-11 tidak akan mendapat tempat ‘dihati’ rakyat di
Bumi Kenyalang.
Pengerusinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata majoriti rakyat
Sarawak yang pelbagai kaum dan anutan agama bukan sahaja mencintai
perpaduan dan keharmonian kaum yang dikecapi selama ini, malah turut
memberi sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak serta Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang sentiasa
memahami denyut nadi rakyat di negeri Sarawak.
“Rakyat
Sarawak cukup matang untuk membezakan antara ‘kaca dengan permata’.
Pembangkang hanya menabur perasaan benci terhadap kerajaan dan tidak
membawa sebarang hasil berbanding BN yang mengamalkan politik perpaduan,
keharmonian dan kestabilan.
“Malah kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Mohd Najib telah
menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah untuk negeri Sarawak serta
kerap datang ke Sarawak untuk meninjau sendiri keperluan rakyat dan
mendengar suara hati rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan
kepada media, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)
seterusnya menambah kerajaan BN ‘cakap serupa bikin’ dan ini dapat
disaksikan bukan sahaja dengan peruntukan pembangunan yang besar untuk
Sarawak, malah projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM16.5 bilion dari
Telok Melano ke Miri yang kini dalam pelaksanaan.
“Selain itu 51 prinsip dan tindakan yang dilaksanakan Ketua Menteri
Sarawak terutama ke arah meringankan beban hidup rakyat dalam keadaan
ekonomi dunia tidak menentu telah diterima baik dan mendapat sokongan
padu rakyat Sarawak,” ujarnya.
Justeru tegasnya pembangkang yang kini dilanda pelbagai masalah
dalaman dan tidak sehaluan sesama mereka, janganlah ‘bermimpi di siang
hari’ kerana seluruh jentera BN akan bekerja keras untuk memastikan
Sarawak akan terus kukuh sebagai kubu kuat BN.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment