Monday, April 04, 2016
Ketua Menteri Sarawak Gesa Pengundi Tolak DAP, PKR
SIMUNJAN : Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata DAP
seharusnya malu bertanding di kawasan luar bandar kerana parti itu
menentang agenda pembangunan luar bandar yang beliau tekankan dalam
pentadbirannya.
Sehubungan itu, Adenan meminta rakyat, khususnya pengundi di luar bandar
menolak DAP kerana parti itu membantah permohonan beliau untuk mendapat
peruntukan tambahan RM1 bilion untuk program pembangunan luar bandar di
negeri ini.
Selain itu, katanya PKR sepatutnya malu bertanding di kerusi baharu
kerana parti itu membantah keras penambahan 11 kerusi baharu Dewan
Undangan Negeri sehingga sanggup membawa kes berkenaan ke mahkamah,
tetapi keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR).
Oleh sebab itu, beliau mengingatkan pengundi termasuk di Simunjan dan
Gedong supaya tidak memberi undi kepada calon parti pembangkang iaitu
PKR dan DAP pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama
Rakyat di pekan Simunjan, kira-kira 120 kilometer dari Kuching hari ini
yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.
Pada majlis berkenaan Adenan mengumumkan Menteri Muda di Pejabat Ketua
Menteri Datuk Mohd Naroden Majais sebagai calon bagi kerusi Gedong,
iaitu satu daripada 11 kerusi baharu DUN yang akan dipertandingkan pada
PRN Ke-11.
Kerusi Simunjan dipecah dua untuk mewujudkan kerusi baharu, iaitu kerusi Gedong.
Naroden merupakan penyandang kerusi Simunjan.
Bagaimanapun Adenan tidak mengumumkan nama calon bagi kerusi Simunjan
yang dilobi lapan bakal calon, sebaliknya memanggil enam bakal calon
yang hadir pada majlis berkenaan ke atas pentas dan melafazkan taat
setia kepada BN serta berjanji menyokong calon yang akan dipilih
mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.
Mereka ialah Awla Dris, Raili Ali, Ibrahim Seriee, Mohd Yusuf Long,
Zainap Halip (wanita) dan Raini Tupong. Dua lagi bakal calon tidak
hadir.
Adenan berkata lafaz taat setia itu perlu untuk menjamin mana-mana
individu terbabit sekiranya tidak dipilih menjadi calon akan tetap
memberi sokongan kepada BN dan calon yang beliau pilih kelak.
"Saya tidak mahu berlaku perpecahan kerana kemenangan besar BN dalam
pilihan raya akan datang amat penting untuk kerajaan negeri meneruskan
agenda pembangunan negeri ini," tambahnya.
Sementara itu Adenan berkata tidak lama lagi kerajaan negeri akan
menurunkan kadar cukai pintu selepas penghapusan cukai tanah yang
keluasannya kurang daripada 40 hektar pada bulan lepas.
Katanya, selama dua tahun menjadi ketua menteri beliau telah pun
melakukan 51 keputusan yang memberi kesenangan kepada rakyat Sarawak
termasuk penghapusan tol, penurunan tambang feri kepada RM1 dan
penurunan tarif elektrik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment