Monday, April 04, 2016

MB, Khalid Bertikam Lidah Isu Air Di Selangor

SHAH ALAM : Sidang DUN Selangor sesi petang hari ini sedikit kecoh apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dengan bekas penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim saling bertikam lidah berhubung isu air.

Kekecohan bermula ketika giliran Khalid yang juga ADUN Bebas Pelabuhan Klang membahaskan usul penyata Jawatankuasa Pilihan ABBAS, di mana beliau menerangkan mengenai kewajaran penyusunan semula industri air.

Ketika beberapa minit membahaskan usul berkenaan, Azmin bangun dan meminta Timbalan Speaker, Shafie Ngah memperjelaskan isu sebenar yang sedang diperbahaskan iaitu berhubung kualiti air.

Azmin mendakwa Khalid cuba mempengaruhi dewan dan media apabila membangkitkan kembali langkah kerajaan negeri berhubung penyusunan semula industri air Selangor sedangkan perkara berkenaan telahpun dijawab dan diterangkan Jumaat lalu.

Pada hari berkenaan, Khalid dilaporkan tidak menghadiri sidang DUN untuk mendengar perbahasan mengenai isu berkenaan.

"Beliau cuba pengaruhi dewan dengan kenyataan yang telah dijawab kerajaan negeri. Selaku ADUN Pelabuhan Klang dia ada tanggungjawab moral dan kewajipan untuk hadir dalam dewan ini dengar penjelasan kerajaan negeri.

"Bukan bercakap di luar. Dan sekarang mengapa desak kerajaan negeri ulang keterangan yang diberikan sedangkan beliau ada peluang untuk hadir mendengar penjelasan tapi beliau pilih untuk tak hadir dan jawab di luar," katanya ketika mencelah perbahasan Khalid sambil meminta speaker bertindak tegas menghalang ADUN Bebas itu daripada terus bercakap di luar konteks.

Speaker kemudian mengingatkan bahawa isu berkenaan telahpun dijawab dan meminta Khalid terus kepada pokok perbahasan.

Pertikaman lidah berterusan apabila Khalid berkeras untuk terus menerangkan mengenai penstrukturan semula air, tanpa menghiraukan arahan Speaker.

Ini membuatkan Azmin semakin berang lantas bangun kali kedua mendesak Speaker untuk bertindak tegas terhadap Khalid.

"Walaupun beliau Bebas tapi dia tak bebas dari tanggungjawab dan kewajipan kepada dewan. Saya berdiri sejam setengah, tidak adil bagi Speaker untuk menyuruh saya menjawab perkara yang sama untuk melayan seorang ADUN yang tak bertanggungjawab kepada dewan.

"Hak itu tidak digunakan tapi buat (kenyataan) di luar? Apakah beliau wakil rakyat atau wakil blog?" persoal Azmin.

Pertikaman yang berlarutan hampir 15 minit itu berakhir apabila Speaker mengarahkan Khalid untuk terus membuat ringkasan kepada ucapan perbahasannya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment