Monday, April 04, 2016

Syabasss.... Elak Seleweng Dana Berulang... 50 Pegawai Kerajaan Dipindahkan

Tiada kesalahan dibuat... tapi sebagai langkah pencegahan seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan sama ada secara dalaman atau ke kementerian lain bermula bulan ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pegawai berkenaan sudah pun dikenal pasti dan berkhidmat lebih lima tahun di bahagian kementerian termasuk kewangan, perolehan dan kontrak.

"Pegawai yang terbabit bukan disyaki melakukan kesalahan sebaliknya pertukaran dibuat berdasarkan pekeliling sedia ada bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

"Kita tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini berulang," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bintang Indeks Penarafan Bintang Agensi Sektor Awam 2015-2016 pada Isnin.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap pemerhatian, ketelusan dan akauntabiliti.

Menurutnya kerajaan amat bimbang dengan laporan bahawa sejumlah RM100 juta dana kerajaan kemungkinan diseleweng daripada KBS.

Kenyataan itu susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas yang menahan sembilan orang termasuk seorang setiausaha bahagian KBS yang dikatakan menerima suapan dianggar mencecah RM20 juta.

Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu lain termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Sementara itu, Ali berkata, pihaknya akan menerima laporan siasatan audit berhubung kes salah guna kuasa pegawai kanan KBS daripada Jabatan Audit Negara pada akhir bulan ini. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment