Monday, April 04, 2016
Pembangkang Serang Peribadi Najib Setelah Gagal Ambil Alih Pemerintahan Negara
TEMERLOH : Pembangkang menggunakan strategi menyerang
kepimpinan dan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
menjatuhkan kerajaan setelah pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini
menemui jalan buntu.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata
taktik kotor itu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas
mereka gagal mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan
Barisan Nasional (BN).
Kini mereka menyerang kepimpinan dan peribadi perdana menteri pula
dengan pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
walaupun telah diputuskan beliau tidak terbabit, katanya.
“Mereka
mengasak dengan pelbagai isu bertujuan untuk mempengaruhi rakyat agar
membenci kerajaan dan pemimpin BN dengan harapan mereka boleh menang
pada PRU ke-14,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan
UMNO cawangan Temerloh di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO
Bahagian Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
berkata lebih malang lagi apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad turut terperangkap dengan mainan politik yang dilakukan oleh
pembangkang apabila bersekongkol dengan mereka mengadakan Deklarasi
Mahathir.
Ismail Sabri berkata bekas presiden parti itu dilihat sudah tidak
boleh mengawal tindakannya sehingga ‘bersahabat’ dengan pembangkang
sedangkan sebelum ini beliau sendiri mencemuh pemimpin dan dasar politik
yang diperjuangkan oleh pembangkang.
“Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap pembangkang kerana apa
saja yang dilakukan perdana menteri untuk kebaikan rakyat dan negara
semuanya salah pada pandangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan
dakyah pembangkang yang sengaja menimbulkan pelbagai isu untuk
menghancurkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pemimpin dan anggota
parti kembali merapatkan saf dan terus bersatu demi keamanan dan
kesejahteraan negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment