Thursday, April 07, 2016
Penahanan Rafizi Mengikut Undang-Undang – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA : Tindakan polis menahan Anggota Parlimen Pandan
Rafizi Ramli di luar bangunan Parlimen Selasa lepas adalah mengikut
undang-undang sedia ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas dakwaan bahawa tindakan menahan Rafizi itu menyalahi
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam
Negeri berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia
akan membuat keputusan hari ini bagi menjawab segala persoalan itu.
“Saya yakin keputusan yang akan dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini akan menjawab semua persoalan itu.
“Saya yakin tindakan yang dilakukan oleh polis berdasarkan
undang-undang sedia ada dan telah diluluskan oleh anggota Parlimen yang
dahulu atau yang sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan
Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Rafizi, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan
Rakyat (PKR), ditahan kira-kira 6.20 petang dua hari lepas sejurus
keluar dari bangunan Parlimen bagi membantu siasatan berhubung
pendedahan dokumen rasmi dan dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan
Tentera (LTAT).
Beliau direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Sebelum ini, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah
memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya
mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT.
Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dakwaan Rafizi itu
adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan
memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment