Thursday, April 07, 2016

Najib Akan Kemuka Surat Tuntutan Kepada Rafizi Berhubung Kenyataan Pembelian Kain

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan surat tuntutan kepada Mohd. Rafizi Ramli supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung pembelian kain di sebuah gedung tekstil terkemuka di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun kepada pemberita selepas pengurusan kes saman fitnah membabitkan Najib dan bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’Hara hari ini.

Mohd. Hafarizam berkata, beliau mendapat arahan daripada perdana menteri semalam untuk menyiapkan dan menyerahkan surat tuntutan kepada Naib Presiden PKR itu secepat mungkin.

Mohd. Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika perhimpunan mansuh GST di Dataran Merdeka, 2 April lepas.

Sementara itu, Mohd. Hafarizam berkata, kes saman Najib terhadap Dr Ling akan didengar di hadapan hakim lain berikutan O’Hara hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.

Katanya, hakim itu menarik diri untuk mengelakkan salah tanggapan masyarakat kerana beliau dan Liong Sik merupakan alumni Maktab Tentera Diraja iaitu Persatuan Bekas Putera.

Peguam itu berkata, keputusan O’Hara itu tidak dibantah oleh pihaknya dan juga peguam Villie Nethi, mewakili Liong Sik.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment