Monday, April 04, 2016
Pengsan Dalam Dewan, Ahli Parlimen Sepang Dikejarkan Ke HKL
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dikejarkan ke
hospital kira-kira jam 5.30 petang Isnin apabila didapati pengsan
sewaktu persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 15 minit.
M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ditemui pemberita berkata Mohamed
Hanipa tidak keluar dewan sewaktu rehat dan beliau bersama Charles
Santiago (DAP-Klang) telah mendekati Anggota Parlimen itu dan mendapati
beliau telah pengsan di kerusinya.
"Beliau kemudian dibawa dengan kerusi roda ke klinik Parlimen dan
dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas itu," katanya kepada
pemberita di lobi Parlimen di sini.
Kulasegaran berkata sebelum itu Mohamed Hanipa dikatakan mengadu loya dan lemah beberapa ketika sebelum waktu rehat tersebut.
Dewan ditangguh selama 15 minit untuk memberi laluan Dr Michael
Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) membawa usul pindaan Rang
Undang-Undang (RUU) Syarikat 2015 ke Jawatankuasa Pilihan.
Terdahulu, Mohamed Hanipa rancak berbahas dengan Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin
berkenaan RUU tersebut.
Mohamed Hanipa merupakan anggota Parlimen Sepang sejak 2013 di bawah
tiket PAS sebelum menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) tahun lalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment