Monday, April 04, 2016

Saya Mesti Sokong Presiden Saya, Kata Ku Li

SHAH ALAM : "Saya ahli Umno, saya mesti sokong Presiden saya," tegas veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sokongannya terhadap parti tetap utuh apatah lagi beliau sudah hampir 50 tahun menjadi ahli parti Melayu itu.

"Saya ahli Umno. Mahathir tidak ahli Umno. Saya sudah hampir 50 tahun jadi ahli Umno dan Ketua Umno Bahagian selama 40 tahun lebih," katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya beliau 'beralih arah' daripada Mahathir selepas menurunkan tandatangan pada Deklarasi Kelantan menyatakan sokongan penuh kepada Najib, Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata perkara itu bukan salah faham sebaliknya dipolitikkan.

"Saya ahli Umno, saya mesti sokong apa yang ada dalam Umno dan kebetulan Umno berkuasa, siapa yang jadi Presiden dan Perdana Menteri, itulah orang kita," katanya lagi.

Ku Li sebelum ini dikatakan menyokong Mahathir kerana hadir dalam satu sidang media bersama pemimpin itu, pada Oktober lalu.

Beliau ketika itu tampil bersama-sama Mahathir; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Datuk Seri Shafie Apdal bagi menyatakan perasaan tidak senang dengan penangkapan bekas ketua Umno Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguam Mathias Chang.

"Saya hadir dan saya buat kenyataan dalam sidang akhbar itu. Tetapi mereka labelkan terus saya ini dengan Mahathir," katanya sambil menjelaskan, beliau hanya berpendirian penangkapan kedua-dua individu itu tidak wajar dilakukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)2012 (SOSMA).

Beliau baru-baru ini menandatangani Deklarasi Kelantan bersama pemimpin Umno Bahagian negeri itu bagi menyatakan sokongan terhadap Najib.

Mengulas mengenai Deklarasi Rakyat yang digerakkan Mahathir bersama pembangkang bagi mendesak pengunduran Najib, Ku Li menyifatkan ia bertentangan dengan perlembagaan.

Malah kata Ku Li, beliau pernah berjumpa Mahathir bagi memberi pandangan berhubung gerakan tersebut yang disifatkannya tidak boleh berjaya.

"Saya kata, Najib dipilih menerusi pilihan raya secara demokratik. Parti dia menang dan kerana dia mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam kalangan dia di Dewan Rakyat, maka Yang Di-Pertuan Agong melantik dia sebagai Perdana Menteri.

"Itu mengikut Perlembagaan dan secara sah mengikut apa yang ditentukan oleh demokrasi.

"Kamu boleh paksa Yang Dipertuan Agong tapi baginda tidak semestinya ikut kerana Yang Dipertuan Agong hanya akan bertindak apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara. Dan kita hendak susunan itu, bukan? Kalau tidak huru hara negara kita," katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment