Monday, April 04, 2016
Veteran Umno Rasa Terhina Dengan Tindakan Dr Mahathir
IPOH : Veteran Umno hari ini melahirkan rasa terluka dan terhina
berikutan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
sanggup bersekongkol dengan pembangkang semata-mata bagi merealisasikan
hasrat untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Veteran Umno Malaysia Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata
amat sukar untuk veteran Umno menerima hakikat dengan hati terbuka
kerana negarawan tersohor itu sanggup menggadaikan maruah diri
bersekongkol dengan pihak yang selama ini memusuhi beliau.
"Sayang dan hormat kami terhadap Tun Mahathir kini bagaikan berkecai.
Dengan rasa sungguh berat hati, saya ucapkan jua pernyataan ini "sorry
sir, it's not that we love you less, but we love Umno much more (maaf
tuan, bukannya kami tidak menyayangi anda, namun kami lebih menyayangi
Umno)," katanya pada himpunan Veteran UMNO Perak di kediaman rasmi
Menteri Besar di sini, hari ini.
Pada himpunan yang pertama kali diadakan di negara ini, kira-kira 1,000
veteran Umno Perak mengisytiharkan akujanji sokongan dan kesetiaan yang
tidak berbelah bahagi terhadap Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden
Umno.
Turut hadir Menteri Besar dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno
Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Veteran Umno Perak
Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir.
Mohd Tajol berkata apa yang membimbangkan veteran Umno ialah kalau yang diserang ialah Najib tetapi yang rebah ialah Umno.
"Atas kebimbangan ini, veteran UMNO mengambil inisiatif mengadakan
himpunan ini untuk cuba merungkai pelbagai kecelaruan yang timbul
daripada percubaan Tun Mahathir menyingkirkan Najib melalui pendekatan
yang jelas tidak demokratik.
"Apa pun hak beliau sebagai rakyat, hak kita sebagai warga Umno yang
sayangkan parti, tidak harus dijadikan gadaian untuk memenuhi cita rasa
politik mana-mana pihak yang gendang dan tarinya tidak lagi senada, mahu
pun serentak dan senada dengan jiwa dan semangat Umno," katanya.
Katanya selera dan gaya kepimpinan boleh bertukar mengikut musim tetapi
kelangsungan hayat Umno perlu dipertahankan dengan apa jua cara.
Beliau berkata sepanjang tempoh 22 tahun Dr Mahathir menerajui
kepimpinan Umno beliau juga terpaksa melalui beberapa ujian yang getir
tetapi anggota Umno tetapi setia dan patuh kepada pemimpin.
"Ketika itu, warga veteran turut mengalami beberapa detik dan peristiwa
cemas yang membimbangkan antaranya kisah perebutan kuasa yang amat
sengit pada 1987, iaitu peristiwa pahit apabila Umno diharamkan.
"Kemelesetan ekonomi dan krisis kewangan yang amat parah pada 1997,
kemelut politik ekoran penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada
Umno dan juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan,"
katanya.
Oleh kerana sifat setia kepada pucuk pimpinan dan rela berkhidmat demi
kepentingan bersama, telah menyelamatkan serta meneruskan kelangsungan
Umno, katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya bahawa warga veteran tahu
mengukur buruk baik tindakan Dr Mahathir kerana warga veteran telah
bersama dengan beliau yang menerajui Umno selama 22 tahun.
Sementara itu, Zambry ketika ditemui pemberita turut menyatakan
penghargaannya kepada anggota veteran Umno yang masih tetap memberi
sokongan kepada parti ketika ia sedang melalui ujian pada ketika ini.
"Dengan dokongan yang ditunjukkan pada hari ini, saya percaya bahawa
kekuatan Umno di Perak adalah contoh yang terbaik di mana parti sentiasa
menjadi keutamaan kita.
"Sebab itu, jarang sekali kita mendengar masalah di Perak yang
melibatkan krisis-krisis politik bahagian dan politik negeri kerana kita
sentiasa mengutamakan perpaduan dalam kalangan anggota parti dan juga
pimpinan parti," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment