Monday, April 25, 2016
"Saya Tidak Kejar Pangkat" - Kata Pekerja Kepada Pemilik Rayani Air
PETALING JAYA : "Saya tidak mengejar pangkat. Saya lebih selesa dengan
jawatan sekarang," kata Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan, 46.
Beliau berkata demikian berhubung tawaran untuk mengambil alih jawatan
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air yang kini disandang oleh
pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran.
Zulkalnain yang merupakan bekas tentera dan berpengalaman dalam industri
penerbangan selama 15 tahun berkata, beliau bekerja berdasarkan
pengalaman dan berkongsi pengalaman itu untuk membangunkan syarikat.
"Yang duduk di atas iaitu CEO, biarlah pemilik syarikat kerana dia yang
perlu tahu dan bertanggungjawab terhadap sumber kewangan serta
pengurusannya.
"Tetapi saya mahu kami semua termasuk Ravi bersama-sama bekerja untuk
memajukan Rayani Air dan Ravi perlu melihat kebolehan saya bersama
kakitangan lain yang mempunyai banyak pengalaman dalam industri
penerbangan, katanya kepada media.
Pada Isnin, media melaporkan Ravi tampil menawarkan jawatan CEO
yang disandangnya kepada Zulkalnain bagi mengambil alih pengurusan
operasi penerbangan patuh syariah itu.
Malah, Ravi turut sedia melepaskan 100 peratus pegangan saham kepada
pelabur baharu yang sedang berunding dengan pihak Zulkalnain.
Walaupun keputusan Ravi melepaskan 100 peratus pegangan saham disambut
baik, tetapi Zulkalnain berpendapat adalah lebih baik sekiranya pemilik
syarikat itu menjadi pemegang minoriti saham.
Jelas Zulkalnain, keputusan Ravi untuk meninggalkan Rayani Air bukan
tindakan bijak dan tidak membantu untuk membersihkan namanya sebagai
peneraju syarikat penerbangan itu yang ketika ini dihimpit masalah dan
kontroversi.
"Kalau Ravi jual 100 peratus saham kepada orang lain tanpa dia berada
dalam syarikat, ia lebih memalukan. Jika dia tinggalkan syarikat, ia
merupakan kegagalan dia sebagai ahli perniagaan.
"Jadi, biarlah Ravi melepaskan majoriti saham, tetapi masih berada dalam
syarikat bagi melihat kemajuan syarikat dan bekerjasama dengan para
pekerja serta memperbaiki kesilapan lalu," katanya.
Ravi bagaimanapun meletakkan ‘tiga syarat’ untuk membolehkan beliau melepaskan jawatan CEO dan 100 peratus pegangan saham.
Tiga syarat tersebut ialah pelabur yang diuruskan Zulkalnain perlu
memenuhi sejumlah dana yang dipersetujui, menguruskan segala liabiliti
termasuk melunaskan tunggakan gaji pekerja, dan mengambil semua
kakitangan pada masa ini sebagai pekerja bagi meneruskan operasi
syarikat penerbangan itu.
Zulkalnain yang diminta mengulas mengenai tiga syarat itu berkata,
beliau bersetuju dengan kesemuanya bagi memastikan Rayani Air beroperasi
semula.
"Apapun, saya berharap nilai pegangan saham yang hendak dijual Ravi
adalah berpatutan demi menyelamatkan Rayani Air," katanya yang mengakui
sedang berunding dengan beberapa pelabur.
Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu merupakan syarikat
penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh
syariah.
Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan
pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga
bulan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment