Monday, April 25, 2016
Shamsul Iskandar Dakwa Sarawak Salah Guna Kuasa Imigresen
SHAH ALAM : Kecewa dengan larangan untuk memasuki Sarawak buat kali
kedua, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa
kerajaan negeri itu sengaja menyalahgunakan Perjanjian 18 Perkara kuasa
Imigresen.
Terdahulu beliau tiba di Sarawak bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak pada jam 3.55 petang semalam dan diterbangkan semula ke Kuala
Lumpur pada 6.25 petang selepas diberikan notis rasmi penolakan
kemasukkannya ke negeri itu.
"Halangan kemasukan ini saya tegaskan bertentangan dengan hak
warganegara di bawah Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan untuk bergerak
secara bebas dan merupakan penyalahgunaan kuasa imigresen seperti yang
termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara tentunya dalam konteks menjalankan
aktiviti politik yang sah.
"Saya yakin tindakan ini bermotifkan politik memandangkan ianya terlalu
hampir dengan hari penamaan calon," kata Iskandar dalam satu kenyataan
medianya hari ini.
Iskandar, yang juga Naib Presiden PKR kemudiannya menyifatkan kepimpinan
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai terdesak
semata-mata menghalang pihak pembangkang untuk berpolitik.
"Jelas bahawa Ketua Menteri Adenan tidak punyai wibawa dan keberanian
untuk bertarung di atas lapangan politik yang sama rata," ujarnya lagi.
Terdahulu lebih daripada 20 pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah dihalang
memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri pada 7 Mei ini.
Bukan sahaja pemimpin pembangkang, beberapa pemimpin Umno dan individu
yang sering mencetuskan beberapa isu rasis juga dihalang memasuki negeri
berkenaan.
20 April lalu, blogger Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri
Wan Deris dilarang masuk ke Sarawak atas alasan sebagai seorang 'pakar
propaganda'.
Bukan itu sahaja penganjur perhimpunan baju merah, Datuk Jamal Md Yunos
yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar telah dihalang daripada
memasuki Sarawak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment