Thursday, April 07, 2016
Tujuh Pegawai KDN Ditukar Atas Pelbagai Kesalahan Sejak 2013 – Ahmad Zahid
PUTRAJAYA : Tujuh pegawai Gred 54 ke bawah yang memegang
jawatan sensitif di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah ditukar sejak
2013 atas pelbagai kesalahan termasuk masalah disiplin dan salah guna
kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mereka yang
dikenakan tindakan tatatertib di bawah Pekeliling Perkhidmatan Awam itu
ditukar secara dalaman atau dipindahkan ke jabatan lain.
“Tetapi kita tidak hebahkan kerana tindakan yang dilakukan adalah
melibatkan individu berkenaan atau organisasi sahaja,” katanya kepada
pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.
Mengulas keputusan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk
menukar 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif (kewangan, kontrak
dan perolehan) secara dalaman atau ke kementerian lain, Ahmad Zahid
berkata KDN menyambut baik keputusan itu.
Katanya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mempunyai kuasa untuk
membuat pertukaran dalaman bagi pegawai gred M54 dan ke bawah, manakala
bagi jawatan utama sektor awam (Jusa), kementerian akan meminta Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membuat pertukaran jika terdapat kesalahan
yang dilakukan.
Pada perhimpunan tersebut, KDN menerima pengiktirafan lima bintang
bagi prestasi tahun 2015 daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan
Perancangan Pengurusan (Mampu).
Ahmad Zahid berkata KDN juga telah berjaya melebihi sasaran Petunjuk
Prestasi Utama (KPI) sebanyak 25 peratus yang ditetapkan bagi suku
pertama tahun ini.
Antaranya kelulusan Pas Penggajian dalam tempoh lima hari bekerja
yang mencapai sasaran 120 peratus; pendaftaran lewat kelahiran dalam
tempoh lima hari bekerja bagi kanak-kanak bawah satu tahun yang
dilahirkan di hospital berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (99
peratus); dan operasi mengesan dan menahan orang yang disyaki penagih
dadah (27 peratus).
Selain itu, pelaksanaan sistem pemeriksaan penumpang dikenali Advance
Passenger Screening System (APSS) (35 peratus); pelaksanaan fasa satu
Sistem Kawalan Imigresen Nasional (40 peratus); tindakan penguatkuasaan
dalam tempoh tujuh hari terhadap semua aduan lengkap (116 peratus); dan
laporan kehilangan pasport Malaysia Antarabangsa daripada sistem Jabatan
Imigresen dalam tempoh 24 jam (100 peratus).
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyampaikan pemakaian pangkat
kehormat kepada dua timbalannya Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat
sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya RELA (Kehormat).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment