Thursday, April 07, 2016
Syarikat Bumiputera Perlu Ambil Peluang Ceburi Bidang Telekomunikasi – Salleh Said Keruak
CYBERJAYA : Syarikat bumiputera perlu mengambil peluang
menceburi industri telekomunikasi supaya tidak ketinggalan bersaing
dengan syarikat global, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata usahawan Bumiputera perlu menjadi lebih kompeten dan
berdaya maju untuk mengurangkan kebergantungan dan monopoli pihak
tertentu dalam perniagaan itu.
Katanya ini sejajar dengan usaha Malaysia mencapai akses internet
sekurang-kurangnya 95 peratus menjelang 2020, dengan memberikan
kelajuan, kos berpatutan dan liputan meluas untuk masyarakat bandar dan
luar bandar.
“Oleh itu, kita mahu lihat lebih banyak syarikat bumiputera terlibat
dan bersaing dalam bidang seperti ini. Dalam dunia persaingan ini, kita
tidak boleh hanya bergantung atau meraih sokongan daripada mana-mana
pihak.
“Semuanya harus datang daripada usaha sendiri untuk maju ke hadapan
dan membantu melonjakkan nama negara,” katanya ketika berucap di majlis
pelancaran jalur lebar Aries Infinity 1 Gigabit di sini hari ini.
Aries Infinity, yang dibangunkan oleh Aries Telecoms (M) Bhd (Aries
Telecoms), merupakan teknologi jalur lebar Internet Protocal versi 6
(IPv6) terpantas di Malaysia, dengan kelajuan internet sehingga 1,000
Mbps (Megabit dalam sesaat) atau 1 Gigabit.
Justeru, Salleh berkata kunci kepada pencapaian kecemerlangan adalah
dengan sentiasa meningkatkan keupayaan daya saing memandangkan wujudnya
banyak teknologi baharu dalam negara ini.
Sambil memuji usaha syarikat Aries Telecoms menghasilkan jalur lebar
itu, beliau berkata: “Saya bangga syarikat tempatan maju jaya kerana
kurang syarikat tempatan menceburi bidang ini. Usaha ini amat
dialu-alukan oleh kerajaan.
“Apa jua perniagaan pun, mesti ada perniagaan dan teknologi merupakan
kunci kepada kejayaan itu. Kita mesti merancang masa hadapan serta
berubah mengikut masa untuk kepentingan rakyat dan kemajuan negara.”
Sebelum itu, semasa menyampaikan ucaptamanya, Salleh berkata kerajaan
mengiktiraf keperluan menerima pakai IPv6 bagi pembangunan negara
kerana dunia hari ini bersedia beralih daripada Protokol Internet Versi
4.
“Pelbagai usaha seperti penubuhan Majlis IPv6 Negara dan menjadikan
IPv6 sebagai satu daripada elemen-elemen pelan tindakan strategik
Perkhidmatan Maklumat, Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MyICMS),”
katanya.
Sejak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terlibat secara
langsung dalam pelaksanaan IPv6, Salleh berkata, SKMM tidak hanya
bertindak sebagai badan kawal selia tetapi juga untuk memperkenalkan dan
menggalakkan peserta industri menerima pakai teknologi baru.
Beliau juga menggesa lebih ramai sektor swasta untuk tampil ke
hadapan dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan Malaysia
mempunyai infrastruktur bertaraf dunia untuk bersaing di peringkat
global.
Mengenai jalur lebar Aries Infinity, Salleh berharap teknologi ini
boleh diperluaskan lagi untuk meliputi segmen pasaran lain seperti
komuniti pendidikan di negara ini.
“Aries Telecoms telah memilih Cyberjaya sebagai lokasi pertama di
negara ini untuk dilengkapi dengan jalur lebar yang paling cepat dan
berkesan. Ini pasti akan meningkatkan reputasi Cyberjaya sebagai hab
teknologi global, ” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment