Thursday, April 07, 2016

Premis Miliki Bahan Radioaktif Perlu Ikuti SOP Pematuhan Keselamatan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.418371.1445231955!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg
PUTRAJAYA : Premis yang memiliki bahan radioaktif bagi tujuan yang dibenarkan perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pematuhan kawalan keselamatan bahan itu supaya tidak terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata soal keselamatan bahan radioaktif tidak harus diambil mudah kerana ia boleh ‘dicanai’ menjadi senjata nuklear yang boleh mengakibatkan kemusnahan besar-besaran jika jatuh ke tangan yang salah.

Beliau berkata berdasarkan resolusi pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) di Amerika Syarikat baru-baru ini, 53 negara termasuk Malaysia khuatir bahan radioaktif jatuh ke tangan yang salah dan mahu langkah awal diambil bagi menangani kebimbangan itu.

“Kita (Malaysia) mempunyai SOP bagi menentukan keselamatan sesebuah premis yang mempunyai bahan radioaktif.

“Jika SOP ini tidak diikuti atau diambil mudah, kita khuatir bahan itu mungkin jatuh kepada pihak tidak bertanggungjawab dan risiko dari aspek keselamatan adalah amat tinggi,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Beliau berkata pihak berkaitan seperti syarikat, hospital, farmasi dan institusi pengajian tinggi yang memiliki bahan radioaktif bagi tujuan yang dibenarkan telah diminta memperkukuhkan kawalan keselamatan di premis masing-masing dengan mematuhi SOP ditetapkan.

Kawalan keselamatan tidak semestinya memerlukan kehadiran polis atau pengawal keselamatan secara kekal di lokasi tersebut tetapi dalam bentuk memperbanyak kamera litar tertutup berdefinisi tinggi serta kawasan mestilah berpagar yang hanya boleh dimasuki individu yang dibenarkan, katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam memastikan tahap keselamatan berada di peringkat optimum, KDN akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memantau pematuhan peraturan kawalan keselamatan. 

“Sebagai kementerian yang mempunyai senarai syarikat dan premis yang mempunyai bahan radioaktif, koordinasi bersama MOSTI penting dalam memastikan pematuhan arahan keselamatan oleh pihak keselamatan terhadap pihak berkaitan dapat dilakukan secara optimum,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment