Monday, May 16, 2016
DAP Hanya Perkuda Anak Melayu Untuk Agenda Cauvinis Dan Rasis Mereka
KUALA LUMPUR : Ketua UMNO
Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, kini jelas bahawa
tindakan Dap yang giat merekrut anak muda Melayu untuk menyertai mereka
termasuklah meletakkan anak-anak muda Melayu menjadi calon pilihanraya
sebagai wakil parti tersebut, merupakan misi tersirat Dap untuk agenda
cauvinis dan rasis mereka.
Menurut beliau, berdasarkan ucapan salah seorang penceramah Dap, Hew
Kuan Yau tidak diragui lagi bahawa tindakan Dap menarik anak muda Melayu
untuk menyertai mereka bukan untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu di
negara ini, tetapi semata-mata untuk merealisasikan agenda politik
mereka yang mahu menghancurkan kekuatan politik bangsa Melayu di negara
ini.
“Selama
ini Dap berulang kali mendakwa bahawa parti mereka itu parti berbilang
kaum. Mereka mula merekrut anak-anak muda Melayu kononnya untuk
memperlihatkan bahawa Dap bukan parti untuk satu kaum sahaja, tetapi
untuk semua kaum.
“Namun apabila kita mendengar ceramah Hew Kuan Yau dalam kempennya di
Sarawak baru-baru ini, maka ternyatalah Dap sebenarnya mempergunakan
anak-anak Melayu itu untuk mencengkam bangsa Melayu itu sendiri.
“Ceramah yang diberikan oleh Hew itu memperlihatkan ideologi rasis
dan cauvinis sememangnya menjadi pegangan kepimpinan Dap dari peringkat
atas dan berakar umbi sehingga ke peringkat bawahan, biarpun Dap cuba
menafikannya,” ujarnya kepada media di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, kata-kata Hew itu juga membuktikan bahawa selama
ini kepimpinan Dap berbohong kepada rakyat Malaysia, apabila mendakwa
parti tersebut akan membela nasib semua kaum sedangkan hakikatnya agenda
politik mereka sarat dengan perancangan yang bersifat rasis dan hanya
akan memihak kepada penyokong-penyokong Dap sahaja.
“Pada pandangan saya, bukan hanya segelintir orang Melayu sahaja yang
tertipu dengan pembohongan mereka itu bahkan kaum Cina dan India juga
turut tertipu dengan retorik politik Dap yang cuba menyembunyi politik
kebencian yang menjadi agenda sulit mereka itu.
“Sebab itulah kita lihat di Pulau Pinang, tidak ada langsung projek
pembangunan untuk rakyat termiskin dan sederhana di kawasan tersebut
contohnya seperti perumahan rakyat termiskin. Ini semua sedia maklum
golongan mana rakyat miskin dan berpendapatan sederhana di negeri
tersebut.
“Mereka sebenarnya langsung tidak memikirkan nasib rakyat yang
berpendapatan sederhana, tetapi lebih sibuk memikirkan untuk membina dan
menjual hartanah di negeri tersebut kepada rakyat luar yang kaya raya.
Sehingga ke hari ini kita dapat lihat tidak ada sebarang projek
perumahan untuk rakyat termiskin yang dilaksanakan oleh Dap di negeri
tersebut.
“Begitu juga jika dilihat daripada sejarah parti itu sendiri, di mana
tidak ada bangsa lain selain daripada bangsa Cina yang boleh memegang
jawatan tertinggi pusat di dalam parti tersebut. Tidak ada pemimpin
Melayu yang boleh bertahan di dalam Dap kerana ideologi dan agenda parti
tersebut hanyalah untuk kepentingan satu kaum sahaja,” tegasnya.
Beliau seterusnya menyeru kepada rakyat di negara ini agar menolak
parti yang membawa pendekatan rasis yang boleh merosakkan keharmonian
dan sikap toleransi antara kaum yang sejak sekian lama telah disemai di
negara ini.
“Di Sarawak, rakyat sudah mula sedar bahawa Dap bukanlah satu parti
yang boleh diberikan harapan untuk menjadikan negara ini lebih baik dan
makmur. Ini terbukti apabila mereka kalah lima kerusi yang sebelum ini
mereka kuasai dalam PRN Sarawak baru-baru ini.
“Saya yakin, rakyat di Sarawak menolak Dap kerana mereka telah sedar
bahawa sikap dan pendekatan parti itu yang rasis serta cauvinis selama
ini hanya akan merosakkan masa depan negara serta keharmonian dan
toleransi yang sudah terbentuk antara pelbagai kaum selama ini.
“Demi untuk masa depan yang lebih baik, demi untuk mengeratkan
keharmonian dan toleransi antara kaum di negara ini, maka amat wajarlah
kita menolak parti seperti parti Dap yang hanya tahu menggunakan
sentimen kebencian dan hasutan berbaur perkauman sebagai modal politik
mereka, di mana pendekatan yang digunakan mereka itu tidak akan membawa
apa-apa kebaikan untuk rakyat dan negara ini,” jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment