Monday, May 16, 2016
Pembangkang Kehabisan Modal Untuk Menjatuhkan Kerajaan
EDITOR MENULIS...
16 MEI 2016
Hari ini, Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah,
Lim Kit Siang mengakhiri penggantungan selama enam bulan dari menghadiri
sesi sidang Parlimen. Beliau tiba di perkarangan Parlimen dengan
sambutan ala-ala pahlawan oleh kesemua Ahli Parlimen DAP yang menunggu
ketibaannya di pintu masuk Parlimen sebentar tadi.
Sebaik sahaja “dibebaskan” Lim Kit Siang dilihat terus berusaha
membangkitkan semula isu lapuk seperti isu pembunuhan model sambilan
dari Mongolia, Altantuya Sharibuu, is derma RM 2.6 bilion dan 1MDB.
Malah, Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga
dilaporkan mendesak Parlimen untuk membahaskan keputusan yang telah
dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
Melucukan, pembangkang di negara ini seolah-olah cukup ketandusan isu
sehingga sanggup untuk membangkitkan semula semua isu yang dilihat
sudah mencapai kata putusnya. Sebagai contoh, isu Altantuya, Mahkamah
telah memutuskan Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dijatuhi hukuman
gantung sampai mati atas kesalahan membunuh model sambilan berkenaan.
Dalam satu temubual, Sirul telah memberi kenyataan bersumpah bahawa
Datuk Seri Mohd Najib dan isteri, langsung tidak terlibat dengan
pembunuhan ini. Lagipun, banyak kenyataan yang dibuat oleh ramai pihak
termasuk mediang P.I Bala sendiri menafikan penglibatan Datuk Seri Mohd
Najib dalam sebarang komplot pembunuhan seumpama ini.
Untuk apa Lim Kit Siang mahu membangkitkan semula isu yang sudah
diselesaikan di peringkat perundangan? Adakah Lim Kit Siang mencabar
keputusan Mahkamah berhubung perkara ini? Bagitu juga dengan isu derma
politik RM 2.6 Bilion yang sudah disahkan oleh kerajaan Arab Saudi
sememangnya satu derma yang tidak menuntut sebarang balasan balik oleh
kerajaan Malaysia.
Malah siasatan yang dilakukan oleh SPRM, Bank Negara Malaysia, PDRM
dan Jabatan Peguam Negara juga membuktikan, tidak langsung terdapat
unsur mencurigakan dalam transaksi ini. Malah, Peguam Negara, Tan Sri
Apandi Ali sendiri telah mengarahkan siasatan berhubung kes berkenaan
ditutup. Jadi untuk apa Lim Kit Siang cuba mengheret semula isu ini?
Adakah beliau lebih hebat jika dibandingkan dengan Peguam Negara?
Satu lagi isu yang menjadi taboo bagi Pakatan Harapan adalah isu
1MDB. Banyak agensi sudah melakukan siasatan dan PAC sendiri telah
mengemukakan laporan penuh berhubung siasatan mereka mengenai 1MDB.
Mungkin Datin Seri Wan Azizah dan Lim Kit Siang sendiri terlupa bahawa
anggota PAC bukan terdiri dari Ahli Parlimen BN sahaja. Sebaliknya, ia
juga turut di anggotai oleh Ahli Parlimen dari pembangkang.
Andai ketelusan PAC juga turut di pertikai, keputusan agensi mana
lagi yang boleh mereka berdua percayai? Adakah perlu untuk mengundang
CIA, FBI, Mossad mahupun KGB menyiasat isu berkaitan 1MDB baru mereka
akan akui? Adakah hanya dengan keputusan bersalah baru dapat memuaskan
hati mereka?
Lim Kit Siang wajar bertanya sendiri dengan Ahli Parlimen Kepong yang
juga ahli DAP, Dr Tan Seng Giaw yang sebelum ini lantang membidas
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dengan mengatakan, siasatan PAC
terhadap 1MDB tidak menemui sebarang penyalahguanaan kuasa oleh Perdana
Menteri. Sebaliknya, ia lebih kepada kesilapan keputusan Lembaga
Eksekutif 1MDB dalam membuat perancangan perniagaan.
Menghairankan, adakah mereka ini langsung tiada sebarang isu
berbangkit di kawasan yang mereka wakili? Adakah kepentingan pembunuhan
Altantuya, isu derma RM 2.6 bilion dan isu 1MDB dapat memberikan
kesejahteraan kepada rakyat yang mereka wakili?
Wan Azizah sebagai contohnya, DUN Kajang yang beliau wakili saban
waktu mengalami kejadian banjir kilat. Adakah dengan membangkitkan isu
1MDB, kawasan yang beliau jagai akan dapat pulih dari berterusan ditimpa
banjir kilat?
Oleh yang demikian, jadilah pembangkang yang bijak. Suarakan masalah
rakyat dari terus menjadi seperti Ahli Parlimen yang kurang cerdik,
hanya menumpukan isu yang sudah basi dengan harapan sentimen kebencian
rakyat kepada kerajaan semakin membesar. Tidak mustahil, rakyat yang
mereka wakili juga sudah muak dengan isu-isu lapuk berkenaan dan melihat
Ahli Parlimen pembangkang yang mewakili mereka, tidak lebih dilihat
seperti parasit sahaja.
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment