Monday, May 16, 2016

#PRKSungaiBesar Medan Tentukan Siapa Lebih Kuat, Mat Sabu Atau Hadi?

EDITOR MENULIS...
16 MEI 2016

Senyum sumbing saya melihat perebutan antara PAS dan PAN untuk bertanding di Pilihan Raya Kecik (PRK) Parlimen Sungai Besar yang dijangka berlangsung tidak lama lagi. Masing-masing enggan mengalah, mahu bertanding di parlimen itu.

Pemimpin PAN, Khalid Samad sudah membayangkan pihaknya akan mewakili Pakatan Harapan di situ. PAS pula awal-awal lagi sudah mengumumkan diri akan meletak calon mereka bukan saja di Sungai Besar, malah turut akan bertanding di PRK Parlimen Kuala Kangsar.

Nampaknya, PAN tidak mahu ‘beri muka’ pada PAS. Khalid mendakwa, Pakatan Harapan meletak calon di PRK Sungai Besar untuk ‘memperkenalkan diri’ dan bukan bermatlamat untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
mat-sabu-vs-hadi 
Mahu perkenalkan diri? Perkenalkan siapa? Orang di Sungai Besar hampir semua kenal PKR dan DAP. Dan saya juga yakin pengundi-pengundi di Parlimen Sungai Besar itu juga ‘kenal sangat’ dengan PAN.

Parlimen Sungai Besar tradisinya ditandingi UMNO yang mewakili BN dan bertembung satu lawan satu dengan PAS. Pada PRU ke-13 yang lalu pun, Allahyarhamah Dato’ Noriah Kasnon berdepan dengan calon PAS, Mohamed Salleh Hussin di situ.

PAN yang ‘perasan’ menggantikan PAS dalam gabungan blok parti pembangkang tetap enggan mengalah untuk memberi laluan pada PAS. Mungkin mereka merasakan mampu menang di Parlimen yang dikuasai BN itu.

Pada pandangan saya, PAN mungkin mengambil kira pengundi-pengundi yang menyokong DAP dan PKR untuk mengundi calon mereka nanti. Seperti yang kita maklum, PAS tidak lagi disenangi DAP dan PKR, serta tidak bersekutu seperti pada PRU ke-13 sebelum ini.

PAS pula yakin mampu menang di Parlimen Sungai Besar ekoran BN hanya menang majoriti 339 undi sahaja di parlimen berkenaan pada pilihan raya yang lalu. Jika mereka ‘kerja lebih’ sedikit, mungkin mereka menjangka mampu tewaskan BN kali ini.

Selepas rakyat Sarawak, kini rakyat di Sungai Besar pula menjadi tumpuan. Sekiranya kita pernah ke Sungai Besar sekitar awal 80’an, mungkin ramai yang akan terkejut melihat kawasan tersebut yang jauh berubah wajahnya kini.

Jalan raya yang dulunya sempit, kini melebar luas. Mungkin ada yang terkejut dengan aktiviti ‘agro moden’ di parlimen itu nanti. Malah pembangunan bukan lagi menjadi satu perkara yang luar biasa di kawasan tersebut. Ia sudah membangun dan tersusun sosio ekonominya…

Tidak perlulah bertanya siapa yang bangunkan Sungai Besar. Nanti ada pula yang kata kita ‘mengangkat diri’. Namun rakyat di Sungai Besar memang majoritinya hidup lebih selesa dan menikmati kehidupan mereka di sana. Hidup mereka tenang.

Tapi ketenangan tersebut mungkin akan dicemari oleh pihak tertentu pada PRK kali ini. Siapa yang akan datang ‘mengacau’, ramai yang mampu menjangka. Jika penduduk Sungai Besar punya autoriti seperti negeri Sarawak, mungkin ramai yang akan ‘disekat’ masuk di sempadan parlimen itu.

Jadi, rakyat Sungai Besar perlu bersedia kali ini. Perhatikan saja gelagat-gelagat ‘orang luar’ yang akan datang ‘mengacau’ rutin kehidupan anda di sana. Bunyi bising mungkin akan terus mengganggu keheningan malam di sana. Jaga-jaga, ideologi ‘sesat lagi menyesatkan’ mungkin turut akan beretorik di Sungai Besar nanti.

Mungkin yang akan seronoknya ialah pengusaha homestay dan para peniaga tempatan. Maklumlah, Sungai Besar bakal menjadi lokasi tumpuan ‘pelancong pilihan raya’. Berurus niagalah dengan baik. Tapi jangan mudah pula terpedaya dengan ‘cara mereka berfikir’.

Saya menjangka akan berlaku pertembungan 3 penjuru nanti. PAS dan PAN akan berentap, cuba membuktikan siapa lebih kuat. BN pula seperti biasa, sekadar memerhati gelagat dua pembangkang itu. Sesekali bertepuk tangan bila ‘syaitan dalam jemaah’ dan ‘geng pak lebai’ bertembung ‘angin’…

PRK Parlimen Sungai Besar pada saya adalah satu pertembungan ‘epik’ untuk menilai siapakah yang lebih kuat di antara PAS dan PAN. Siapa dapat undi lebih banyak, maka ia akan mencerminkan kekuatan. Tapi jangan haraplah dapat undi dari pengundi BN kerana pengundi kami di sana memang setia pada parti yang banyak menabur bakti pada mereka…

Sekiranya diizinkan Allah, insya Allah saya juga akan berkunjung sebentar di Sungai Besar nanti.

Tiada niat untuk mengganggu ‘temasya PRK’ di sana, tapi hanya bertanya khabar saudara mara dan rakan taulan di sana. Selamat berkempen!

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment