Monday, May 16, 2016

Biasa Di Kedah, ‘Luar Biasa’ Bagi Mukhriz?

EDITOR MENULIS...
16 MEI 2016
mm-kit-siang
‘Pedih’ sungguh ‘ulu hati’ penyokong-penyokong Dato’ Seri Mukhriz Mahathir apabila Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menceritakan realiti dan rutin sebenar seorang pemimpin politik berjiwa rakyat di Kedah.

Ahmad Bashah yang dipetik di media bercerita, adalah menjadi kebiasaan baginya untuk memandu sendiri untuk keluar bersantai bersama rakan-rakannya untuk makan malam jika ada waktu terluang.

Malah kata Menteri Besar yang menggantikan Mukhriz itu, beliau tidak perlu pun membawa pengawal atau pegawainya bersama ketika meluangkan masa bersama rakan-rakan. 

Amalan itu menjadi kebiasaan selama berpuluh tahun dan masih biasa dilakukan hingga kini.

Memang benar. Tanyalah pada sesiapa pun di Kedah, orang politik di negeri itu memang begitu kebiasaannya. Yang tinggal di kampung, mereka terbiasa dengan cara orang kampung. Di bandar pula bersesuaian dengan cara kehidupan seperti rakyat lain.

Sebagai contoh, seorang ADUN UMNO yang saya kenali memang biasa bertandang ke rumah rakan-rakan karibnya selepas solat Isyak di masjid. Hanya berkain pelikat berbaju Melayu, mereka ke rumah rakan untuk minum kopi, bersembang santai.

Balut rokok daun, kopi panas pekat berteko-teko, dan Adun UMNO itu buka baju melayunya, lebih selesa dengan singlet ‘Pagoda’. Kadangkala rasa lenguh, beliau baring, mengiring, mengikut keselesaan macam di rumahnya sendiri. Itu biasa bagi ahli politik di Kedah.
Ahmad_Bashah_620_399_100
Di bandar pula, mereka sudah biasa melepak di kedai mamak jika lapang. Kadang kala di kedai tomyam. Jangan terkejut jika lihat Ahmad Bashah memandu Proton Waja ke kedai mamak ‘pekena’ roti canai bersama rakan-rakannya. Itu biasa.

Cuma, mungkin kebiasaan pemimpin politik Kedah itu menjadi amalan ‘luar biasa’ bagi Mukhriz sebelum ini. Khabarnya, sarapan pagi di gerai tepi jalan pun dibawa pengawal, pegawai dan ‘pencacai media sosial’nya?

Setelah itu, gambar Mukhriz bersarapan ‘bersama rakyat’ itu sengaja dirakam dan diviralkan di media sosial? Kononnya ‘berjiwa rakyat’? Benar berjiwa rakyat atau sekadar ‘lakonan’ aristokrat? Suatu yang biasa bagi pemimpin UMNO di Kedah, tapi dilihat ‘luar biasa’ bagi Mukhriz?

Maka tidak hairanlah jika ramai pemerhati UMNO di Kedah ketawa besar dan mendakwa Mukhriz hanya ‘melancong’ di negeri mereka. Rumah-rumah rakyat di kampung bagai menjadi ‘homestay’ bagi Mukhriz, sekaligus mencari populariti di kalangan rakyat yang mudah terpedaya?

Padanlah sampai gambarnya duduk bersama makcik di tangga rumah pun dirakam dan diviralkan. Masuk kedai beli air tin pun dirakam dan dimuat turun di media sosial. Hatta Mukhriz solat di surau pun dirakam dan ‘dijual’ pada rakyat?

Maka mungkin kerana itulah Mukhriz sering dilihat sebagai ‘orang luar’ di Kedah walaupun dia sebenarnya lahir di negeri itu. Dia kekok, tapi cuba membuktikan diri sebagai ‘orang Kedah tulen’? Apa gunanya berlakon di depan rakyat? Benar ada yang memuji, tapi bagi yang sedar dan celik, mereka akan ketawa terbahak-bahak.

Namun kini ‘nasi sudah menjadi bubur’. Mukhriz kini kelihatan seperti lebih pembangkang dari pembangkang sebenar. Mungkin dia fikir UMNO melayannya seperti pembangkang, tapi hakikatnya dia sendiri yang mengambil sikap berpendirian seperti pembangkang pun.

Pada pandangan saya, Mukhriz lebih sesuai untuk menjadi wakil rakyat di ibu negara atau di negeri maju seperti Selangor. Itu pun di kawasan bandar dan elit. Di kawasan ‘kampung’ seperti di Kedah, rasanya terlalu sukar bagi ‘aristokrat’ seperti Mukhriz…

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment