Monday, May 16, 2016
Zahid Mahu Tenaga Mahir Tempatan Isi 1.5 Juta Kerja Menjelang 2020
KOTA KINABALU : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tenaga
kerja tempatan mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor
yang bakal diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020 bagi
mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
Timbalan Perdana Menteri berkata 60 peratus daripada peluang kerja
yang bakal diwujudkan berkenaan memerlukan tenaga mahir dalam bidang
teknikal dan vokasional.
“Kita mampu mengoptimumkan tenaga mahir, bukan bergantung kepada
pekerja asing. Keutamaan perlu diberikan kepada pekerja tempatan, dan
tenaga kerja tempatan perlu diberi gaji secukupnya supaya mereka dapat
menyumbang kapada pembangunan negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Guru
Peringkat Kebangsaan Ke-45 di kampus Universiti Malaysia Sabah di sini
hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri
Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah
Maimunah Suhaibul.
Katanya dengan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing
ia sekali gus dapat menghalang kesan negatif kemasukan pekerja asing ke
negara ini seperti pembawaan penyakit berjangkit termasuk kusta, batuk
kering, untuk dan sebagainya.
Ahmad Zahid berkata pada suatu ketika penyakit berjangkit seperti
kusta dan batuk kering seperti sudah tidak lagi wujud di negara ini
namun penyakit berkenaan kini muncul semula.
Selain itu, katanya masalah lain yang ditimbulkan pekerja asing termasuk peningkatan kos rawatan di hospital-hospital kerajaan.
Menurutnya sehingga April lalu sahaja, jumlah bil perubatan hospital
kerajaan yang gagal diselesaikan rakyat asing di negara ini berjumlah
RM110 juta.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment