Friday, May 20, 2016
#PRKSgBesar : Entah Meroyan, Entah Gila Talak
EDITOR MENULIS...
20 MEI 2016
Kalau cemburu, itu tandanya sayang. Kalau meroyan, apa pula tandanya?
Kadang-kadang saya rasa kasihan juga
dengan PAS, yang secara terang-terangan tidak lagi terikat dengan
tahaluf siyasi bersama Pakatan Harapan.
Apa tidaknya, sungguh pun tidak lagi
bersama dengan Pakatan itu, kelihatan masih ada tangan-tangan dari luar
parti itu yang cuba untuk menentukan hala tuju parti. Pelik, tatkala
talak sudah dilafaz, kini tergila-gilakan pula untuk sering campurtangan
dengan urusan dalaman PAS.
Marahnya PAN kepada PAS bukanlah rahsia,
dan kini kita melihat pula bagaimana PAN mendesak untuk PAS berundur
dari kerusi parlimen Sungai Besar. Apa yang sedang kita perhatikan
ketika ini adalah terjemahan hakikat, atas apa yang pernah berlaku di
dalam “kelambu” ketika mereka bersama-sama di bawah Pakatan Rakyat. PAS
tetap jatuh ke kasta terbawah.
Ketika bibit perpecahan Pakatan Rakyat
berlaku, saya masih ingat ketika itu, kalau tidak silap, Lim Guan Eng
pernah melafazkan kata-kata yang hampir sama maksudnya seperti apa yang
dilafazkan oleh Khalid Samad semalam.
PAS menang bukan kerana PAS, tetapi PAS menang kerana Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang berkata PAS menang kerana nasib.
Matematiknya mudah, tidak perlu untuk
mana-mana pihak menuduh siapa yang lebih disokong oleh rakyat. Untuk
itu, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, adalah lebih elok untuk
PAN meletakkan calon di pilihan raya kecil Sungai Besar sekalipun jika
mengikut perkembangan semasa, ia akan berlaku secara 3 penjuru; BN, PAS
dan PAN.
Maka, pada pilihan raya kecil kali ini, akan ada dua keputusan yang bakal dinantikan oleh rakyat.
Pertama, siapa yang akan menang kerusi parlimen Sungai Besar?
Kedua, antara PAS dan PAN, yang mana satu mendapat sokongan tertinggi dari rakyat?
Oleh yang demikian, kita akan tahu samada
kata-kata PAS menang bukan kerana PAS adalah tepat, atau sekadar
tuduhan tidak berasas dari PAN. Segalanya akan terjawab mengikut amalan
demokrasi di negara ini.
Indah kan?
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment