Monday, May 16, 2016
Mahathir Ketua Pembangkang Yang Baharu, Macam Ketam Mengajar Anak
Semalam secara rasmi bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menjadi
ketua pembangkang yang baharu di negara ini apabila menyarankan semua
pihak bersatu mengalahkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil
Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Saranan Tun Mahathir supaya BN dikalahkan dalam dua Pilihan Raya Kecil
bulan depan untuk jatuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak sangat
tidak masuk akal. Pilihan raya ini diadakan kerana kematian dua orang
wakil rakyat bukannya kerana mahu menguji populariti Mohd Najib.
Jika pun Barisan Nasional kalah dalam kedua-dua PRK ini ia tidak memberi
apa-apa signifikan kepada keperluan untuk Mohd Najib Tun Razak.
Mahathir mungkin lupa bahawa beliau sendiri tidak meletak jawatan
apabila Barisan Nasional pimpinannya kalah dalam PRK Johor Bharu pada
1988. PRK Johor Bharu sepatutnya lebih penting dalam menentukan
kedudukan Perdana Menteri kerana Tan Sri Shahrir Samad yang disingkir
oleh Mahathir bersama kumpulan Tengku Razakiegh Hamzah telah
mengosongkan kerusinya untuk mengukur sokongan rakyat.
Sudah tentu kekalahan dalam PRK Johor Bharu lebih signifikan jika mahu
ditentukan kedudukan Perdana Menteri berdasarkan PRK. Shahrir ketika itu
hanyalah calon bebas dan dengan mudah menewaskan calon BN.
Mengapa Mahathir tidak meletak jawatan ketika itu tetapi terus
memerintah sehingga 15 tahun kemudiannya? Jika Mahathir tidak meletak
jawatan mengapa pula Mohd Najib perlu meletak jawatan?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment