Monday, May 16, 2016
Jika Berlakulah.... Kedudukan Kerajaan Negeri Selangor Goyah
Selepas DAP mengambil keputusan memecat keahlian Adun Teluk Datok, Loh
Chee Heng kelmarin kerana didakwa menyalahgunakan peruntukan Dun,
kedudukan Kerajaan Negeri Selangor kini dikatakan dalam keadaan kurang
stabil.
Orientaldaily dalam laporannya semalam merumuskan sekiranya Chee Heng
yang kini sudah bukan ahli DAP lagi, menjadi orang penting dalam
pembentukan kerajaan negeri di Selangor.
Ini kerana, sekiranya Adun Teluk Datok itu memberi sokongan kepada BN
dengan melompat ke mana-mana parti komponen dalam BN, ini akan memberi
peluang kepada Pas dan BN bergabung menubuhkan kerajaan negeri bersama.
Pada PRU lalu, Pas mempunyai 15 Adun dalam Dun Selangor dan Umno
mempunyai 12 Adun. Jika dicampur dengan Chee Heng dan seorang lagi Adun
bebas, iaitu bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pas-Umno
mempunyai 29 Adun berbanding Pakatan Harapan yang berjumlah 27 Adun.
Dengan kata lain, perbezaan dua kerusi ini akan memungkinkan kuasa
tampuk kepimpinan kerajaan negeri Selangor boleh bertukar tangan pada
bila-bila masa. Namun apakah Pas bersedia berpaling tadah meninggalkan
rakan sekutunya, PKR untuk membentuk kerajaan baharu bersama Umno?
Kata akhbar ini lagi, inilah ujian yang dihadapi Menteri Besar, Azmin
Ali untuk mengelakkan kerajaan negeri di bawah kepimpinannya terus
berada dalam keadaan genting dan goyah.
Bagaimanapun, kata akhbar ini, Pas buat ketika ini masih tidak berganjak
daripada pendirian dengan kekal bersama PKR dan DAP untuk sama-sama
menerajui jentera kerajaan negeri. Tambahan pula, daripada 15 Adun Pas
itu, dipercayai bukan semua wakil rakyatnya yang menyokong penubuhan
kerajaan campuran dengan Umno.
Mengenai isu Kabinet baharu di Sarawak, hampir semua akhbar Cina semalam
menumpukan laporan mengenai ketiadaan kaum Cina dilantik sebagai
timbalan ketua menteri yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan
Satim, kelmarin.
Terkejut dan kecewa. Itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh
masyarakat Cina di Sarawak khasnya kerana walaupun diperuntukkan
sebanyak tiga jawatan timbalan ketua menteri, tidak ada seorang pun
diwakili oleh kaum Cina.
Sin Chew Jit Poh melaporkan, walaupun pengundi Cina memberikan sokongan
yang menggalakkan kepada BN dalam PRN minggu lalu, tetapi jawatan
timbalan ketua menteri yang ditunggu-tunggu mereka selama ini tidak
menjadikan kenyataan.
Pada sidang akhbar yang diadakan Adenan kelmarin, beliau menafikan
pernah berjanji akan memperuntukkan jawatan timbalan ketua menteri
kepada kaum Cina, sebaliknya berkata, jawatan itu hanya akan diberikan
jika SUPP menang dalam semua kerusi ditandangi mereka dalam PRN lalu.
Akhbar ini mempersoalkan dengan tidak memperoleh timbalan ketua menteri
dalam Kabinet negeri, apakah kaum Cina di Sarawak akan terpinggir?
Akhbar ini juga melontarkan pertanyaan apakah mungkin Cina di Sarawak
telah salah faham akan janji yang dibuat oleh Adenan ketika kempen PRN
lalu.
Adenan adalah seorang pemimpin yang berkaliber. Kata akhbar ini, beliau
cuba menaburkan janji-janji yang menarik bagi mendapatkan seberapa
banyak sokongan daripada masyarakat Cina.
Sama ada janji-janjinya ditunaikan ataupun tidak, apa yang diusahakan
oleh Adenan sepanjang tempohnya sebagai ketua menteri tetap dipuji
dalam menjaga kepentingan semua kaum di Sarawak.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
yang mencadangkan kerajaan negeri Sarawak menggubal perlembagaan agar
memperuntukkan empat jawatan timbalan ketua menteri sedikit sebanyak
melegakan kaum Cina di negeri itu.
Cadangan menambah satu lagi kerusi timbalan ketua menteri itu dikatakan
akan diperuntukkan kepada wakil Cina pastinya diterima baik dan
disokong.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment