Monday, May 16, 2016
Mahu Jadi 'Empat Musibat' Atau 'Empat Pejuang UMNO'?
EDITOR MENULIS
16 MEI 2016
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11 baru beberapa hari selesai
melabuhkan tirainya dengan memberi kemenangan lebih meyakinkan, apabila
rakyat di negeri itu memberi mandat besar kepada Barisan Nasional untuk
meneruskan kecemerlangan pentadbiran di sana.
Di sebalik kejayaan tersebut, terpalit juga kisah duka apabila berlaku
tragedi menyayat hati membabitkan kematian dua Ahli Parlimen BN bagi
parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar
Wan Ahmad dan parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, dalam nahas
helikopter ketika kempen sedang hangat berlangsung.
Jadi, tidak lama lagi akan berlaku Pilihan
Raya Kecil (PRK) bagi kedua-dua parlimen itu seperti yang telah
ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Biar pun masih bersedih di
dalam meraikan kejayaan di Sarawak, nampaknya BN punya dua lagi 'perang'
yang perlu diharungi dalam tempoh bulan Jun ini.
Perkembangan terkini menyaksikan PAS sudah awal-awal lagi mengumumkan
bahawa mereka akan meletakkan calon di kedua-dua parlimen berkenaan.
Saya yakin, Pakatan Harapan sama ada PAN atau PKR tentu akan turut
meletakkan calon mereka di sana.
Seperti yang kita maklum, parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar
merupakan kawasan majoriti bangsa Melayu, serta tradisinya kedua-dua
parlimen itu merupakan kubu kuat bagi UMNO yang mewakili BN pada setiap
kali pilihan raya berlangsung.
Sama ada PRK bagi kedua parlimen itu menyaksikan pertembungan satu lawan
satu atau pertandingan tiga penjuru, tidak dapat dipastikan lagi.
Mungkin ada juga calon bebas yang akan cuba menarik publisiti untuk
bertanding di situ, siapa tahu?
Saya melihat kedua PRK di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu
sebagai salah satu ujian kepada seluruh penyokong, ahli akar umbi,
pejuang atau aktivis dan pemimpin UMNO di seluruh negara.
Pastinya PRK di dua parlimen itu hangat menjadi tumpuan. Pembangkang
pula sudah tentu seboleh-bolehnya mahu menawan dua kubu kuat UMNO itu.
Menewaskan UMNO di Sungai Besar dan Kuala Kangsar mungkin mereka
ibaratkan bagai menewaskan Dato' Seri Najib Tun Razak.
Secara tradisi dan sejak UMNO ditubuhkan lagi, setiap kali berlaku
pilihan raya yang membabitkan calon dari parti keramat bangsa Melayu
itu, pastinya mereka akan bermati-matian memastikan kemenangan berpihak
pada BN.
Walaupun tidak sehaluan, berlainan ideologi atau berlaku persaingan
dalaman di kalangan pemimpin UMNO, mereka sanggup mengenepikan segala
perbezaan tersebut demi memastikan kemenangan parti di medan perhitungan
kertas undi.
Jadi bagi kedua PRK yang bakal ditandingi UMNO itu nanti, penulis mahu
melihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya, Dato'
Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
dan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Shafie Apdal, turut berkempen bagi
memastikan kemenangan UMNO di dua kerusi tersebut.
Tapi, jika enggan masuk ke parlimen tersebut pun tidak mengapa. Boleh
teruskan keliling negara seperti yang dilakukan sekarang. Tapi pastikan
UMNO menang dan jangan jejaskan imej parti di mata rakyat. Jika tidak
mahu kempen pun, pastikan tidak menyerang atau buruk-burukkan parti.
Khabarnya, mereka-mereka yang namanya bergelar Tun, Tan Sri dan Dato'
Seri yang diperoleh dari hasil khidmat bersama UMNO dulu itu kononnya
'pejuang UMNO sejati'. Khabarnya 'tulen' sangat perjuangan itu, kononnya
mereka sayang sangat pada UMNO.
Maka kerana itulah saya menuntut mereka untuk membuktikan kata-kata
mereka itu dalam bentuk tindakan. Jadi ia bukanlah seperti 'cakap tak
serupa bikin', 'tin kosong', 'cakap saja lebih' atau 'kata tidak
dikota'. Bukan sekadar retorik politik semata-mata.
Namun
begitu, jika mereka gagal untuk berbuat seperti yang digesa ini, maka
kenallah kita tentang siapakah keempat-empat 'tokoh tulen
pejuang UMNO sejati' itu. Layaknya mereka kini bergelar pembangkang,
tapi ada hati mengaku diri 'sayangkan parti'? Cakap sajalah untuk
kepentingan diri..
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment