Monday, May 16, 2016
Nga Kor Ming Kesal Siarkan Foto PM, Isteri Di Facebook
KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming
menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana menyiarkan sekeping
foto Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri
Rosmah Mansor, bersama-sama beberapa anggota Kabinet dalam laman
Facebooknya pada Mac tahun lepas.
Dalam kenyataannya bagi tujuan merekodkan persetujuan penghakiman
persetujuan, yang dibacakan peguamnya, Alex Tan Chie Sian di Mahkamah
Tinggi, Nga berkata dalam semangat muhibbah, beliau menarik balik komen
berkaitan gambar itu dan berjanji tidak akan menyiarkan perkara serupa
pada masa akan datang.
“Saya difahamkan bahawa gambar yang dimaksudkan itu diambil di China
ketika Perdana menteri membuat persiapan untuk pulang ke Malaysia
apabila mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Sultan Perak, Azlan
Shah, dan oleh itu, saya menyatakan perasaan kesal yang amat mendalam
kerana gambar itu telah disalah anggap dan dilihat secara di luar
konteks,” katanya.
Sehubungan itu, saman fitnah yang difailkan perdana menteri dan
isteri tehadap Nga berhubung gambar yang disiarkan Nga dalam laman
Facebooknya selesai apabila kedua-dua pihak bersetuju terhadap
penghakiman persetujuan.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib and Rosmah,
berkata susulan kepada kenyataan Nga itu, kliennya bersetuju menerima
penghakiman persetujuan, yang direkodkan Hakim Siti Khadijah S. Hassan
Badjenid.
Mohd Hafarizam juga memberitahu mahkamah bahawa berikutan keikhlasan
Nga dalam menzahirkan kekesalan mendalam, kesediaan menarik balik komen
dan janjinya untuk tidak akan menyiarkan perkara sama pada masa akan
datang, maka plaintif (Najib dan Rosmah) menerima kenyataan yang dibuat
defendan.
Peguam itu berkata klien beliau mengarahkan agar Nga memuat naik
kenyataannya yang dibacakan di mahkamah hari ini dalam akaun dan laman
Facebooknya dalam masa tujuh hari mulai hari ini dan penghakiman
persetujuan itu perlulah dianggap sebagai penyelesaian secara penuh dan
muktamad daripada semua punca tindakan, dakwaan, tuntutan serta kos dan
perkara itu diselesaikan tanpa perintah berkaitan kos.
Pada 11 Jun tahun lepas, Najib, dalam kedudukan peribadinya, dan
Rosmah, memfailkan saman terhadap Nga dengan mendakwa bahawa pada 29 Mac
2015, defendan memuat naik sekeping foto mereka bersama-sama beberapa
anggota Kabinet dan pegawai kanan Wisma Putra dalam akaun Facebooknya,
yang didakwa diiringi dengan kata-kata yang merendah-rendahkan mereka.
Plaintif mendakwa tulisan Nga itu memfitnah mereka dan mudah diakses para pengguna Internet di seluruh dunia.
Najib mendakwa kenyataan Nga itu, antara lain, membawa maksud beliau
menyalahgunakan kuasa dan mandatnya sebagai perdana menteri untuk
kepentingan sendiri dan isteri beliau.
Rosmah pula mendakwa kenyataan defendan itu membawa maksud beliau
seorang yang mementingkan diri sendiri kerana didawka mempengaruhi
suaminya sebagai perdana menteri supaya menyalahgunakan kedudukan beliau
dan didakwa mencampuri sistem pentadbiran negara.
Dalam kenyataan media kemudian, Mohd Hafarizam berkata tindakan yang
diambil kliennya terhadap defendan adalah bagi mendapatkan ketenangan
dan pewajaran serta bukan berniat tidak baik untuk meletakkannya dalam
keadaan menjelikkan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment