Wednesday, May 18, 2016

Deklarasi Rakyat 'Cetek' Dan 'Cacat', Bawa Perpecahan Kepada PH

KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin pembangkang mengkritik Deklarasi Rakyat dan menyifatkannya sebagai 'cetek' dan 'cacat' serta tidak memberikan sebarang manfaat, malah membawa perpecahan kepada Pakatan Harapan (PH).

Bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata, ini terbukti apabila Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disertai oleh PH telah menyebabkan perpecahan pakatan pembangkang itu.

"Kita ingat kita yang memecahkan Umno dengan kehadiran Dr Mahathir tetapi dengan kehadiran beliau juga memecahkan kita, PKR pecah dua, DAP pecah dua dan masyarakat umum pun berpecah begitu banyak.

"Deklarasi ini memang 'cetek' dan 'cacat', jika saya minta Ambiga dan rakan-rakannya buat deklarasi ia adalah lebih baik dari deklarasi rakyat kerana mereka orang yang pakar.

"Tapi bila kita baca deklarasi ini, 36 (perkara) adalah rintihan Dr Mahathir tentang Najib dan di dalam deklarasi ini yang menyatakan perkara berkaitan reformasi hanya ada 4 (perkara).

"50 orang duduk buat deklarasi bersatu, 12 jam selepas itu mereka lawan, Mukhriz menyatakan ini adalah untuk menyelamatkan Umno, Wan Azizah pula menyatakan kita kena masukkan soal pembebasan Anwar.

"Jadi jika mereka ini bersatu, kenapa 12 jam selepas itu bergaduh...jadi mereka ini tidak pernah berfikir dan mereka bukan sebuah kumpulan yang serius," katanya dalam Debat Perdana Deklarasi: Mana Pergi Rakyat? di Dewan Perhimpuna Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam.

Tambahnya, Deklarasi Rakyat yang dikatakan sudah mencapai sasaran 1.27 juta tandatangan itu tidak mengubah apa-apa, sebaliknya membawa 'malapetaka' kepada PH.

"Apa yang kita nak cakap dekat anak cucu kita, Mahathir baik dia pembela kita, menyokong reformasi dan esok bila kita kalahkan Najib kita pun kena maafkan Najib kerana kita kena adil...kita adil terhadap Mahathir jadi kita kena maafkan juga.

"Deklarasi ini adalah satu deklarasi bukan rakyat tetapi satu deklarasi elit kerana hanya beberapa segelintir kecil dengan Dr Mahathir yang bincang deklarasi ini, jadi ini bukan deklarasi rakyat ia dibuat oleh individu dan dibuat secara rahsia," katanya lagi.

Debat Perdana yang dianjurkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu menampilkan bekas Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan; Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan; Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad sebagai kumpulan penyokong Deklarasi Rakyat.

Sementara bagi pihak pembangkang Deklarasi Rakyat ia diwakili Aktivis Asalkan Bukan Umno (Abu), Haris Ibrahim; Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment