Friday, May 20, 2016

Inilah Yang Kita Mahukan Pada Kerajaan.....Sewa Percuma Untuk Peniaga MARA Digital Mall Di Seluruh Negara

Para peniaga di pusat barangan teknologi maklumat (IT) Bumiputera, MARA Digital Mall di seluruh negara akan turut menikmati pengecualian bayaran sewa selama enam bulan sama seperti MARA Digital Mall di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian telah memutuskan untuk memberi sewa percuma itu sama seperti diberikan kepada bakal peniaga di MARA Digital Mall di Anggerik Mall, Shah Alam dan Glomac Mall di Damansara, kedua-dua mall itu akan dibuka pada masa yang terdekat ini,” katanya pada sidang media di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata subsidi sewa itu diberikan sebagai bantuan sementara bagi peniaga memulakan perniagaan selama tempoh enam bulan sehingga perniagaan mereka stabil dan mendapat keuntungan, ia bukannya layanan istimewa kepada para peniaga seperti yang didakwa beberapa pihak sebelum ini.

Beliau berkata MARA Digital Mall di Anggerik Mall akan dibuka pada akhir bulan depan (Jun), kelewatan pembukaan mall itu disebabkan bangunan berkenaan mengalami kebocoran dan kerosakan akibat ribut baru-baru ini, justeru, pembukaan terpaksa ditunda atas sebab keselamatan.

“Para peniaga perlu memulakan perniagaan mereka pada masa yang sesuai kerana pada bulan puasa, kebiasaannya orang ramai gemar membeli pakaian baju raya berbanding telefon bimbit dan barangan IT,” katanya.

Pada Disember tahun lepas, Ismail Sabri berkata MARA Digital Mall akan diperluas di setiap ibu negeri seluruh negara tahun ini untuk memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera melibatkan diri dalam pasaran digital dan IT.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) yang berlangsung dari 16 Mei hingga 15 Jun depan kini dibuka untuk penyertaan.

“Pertandingan RBC tahun ini, dua kategori masih dikekalkan iaitu pertandingan Pengembangan Perniagaan dan Idea Perniagaan. Untuk kategori Pengembangan Perniagaan, ia terbuka kepada syarikat yang telah beroperasi manakala kategori Idea Perniagaan boleh disertai oleh syarikat yang belum beroperasi.

“Penyertaan terbuka kepada semua golongan belia warganegara Malaysia yang berumur antara 18 dan 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata hadiah yang ditawarkan untuk Pengembangan Perniagaan adalah dalam bentuk geran perniagaan sehingga RM1 juta dan juga kemudahan dan bagi Idea Perniagaan pula kementerian menyediakan hadian berbentuk wang tunai sehingga RM10,000 bagi rancangan perniagaan yang terbaik.

“Secara keseluruhan, pemenang RBC untuk tahun 2012 hingga 2014 telah berjaya mewujudkan hampir 487 peluang pekerjaan baharu, pertandingan RBC ini juga berjaya melahirkan 353 usahawan baharu dari pelbagai bidang,” katanya.

Ismail Sabri berkata produk-produk keluaran oleh para pemenang RBC itu juga berpotensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas di pasaran dalam negara dan luar negara berikutan permintaan yang baik terhadap produk mereka.

Maklumat lanjut mengenai RBC boleh diperoleh dengan menghubungi Sekretariat RBC di talian 03-88915607 atau melayari laman web di www.rbc.my.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment