Friday, May 20, 2016
Perghhhh..... Waspada dengan Tun Mahathir - Wan Azizah
KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mengingatkan pemimpin pembangkang supaya berwaspada dengan bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saranan itu ditujukan kepada
kepemimpinan pembangkang yang memutuskan untuk menyertai deklarasi
dipelopori bekas Perdana Menteri itu bersama Penasihat DAP, Lim Kit
Siang serta beberapa pemimpin pembangkang lain.
"Waspadalah... itu sahaja," katanya ringkas ketika diminta mengulas
mengenai surat didakwa ditulis oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang antara lain meminta pemimpin pembangkang yang bekerjasama dengan Dr
Mahathir untuk berwaspada dengan politik elit penguasa. Dalam suratnya,
Anwar menyebut deklarasi itu sebagai dokumen Mahathir, cacat, tidak
selari dengan pandangan dari sudut reformasi serta hanya menumpukan
untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali gus
jauh terpesong daripada perjuangan pembangkang. Kesahihan surat itu
disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Sebelum ini, Dr Wan Azizah dilaporkan menolak untuk menyertai kempen
Selamatkan Malaysia diketuai Dr Mahathir, selain enggan berjumpa bekas
Perdana Menteri itu yang pernah memecat suaminya daripada jawatan
Timbalan Perdana Menteri. Ketika ditanya sama ada pemimpin PKR perlu
menarik diri daripada menyertai deklarasi Mahathir itu, Dr Wan Azizah
enggan mengulas dan menyatakan surat Anwar tidak menyebut perkara
berkenaan. Wan Azizah bagaimanapun menyifatkan surat suaminya itu
sebagai isu dalaman parti.
"That is an internal matter (Itu hal dalaman)," katanya. Sementara itu,
Ketua Whip PKR di Parlimen, Datuk Johari Abdul, berkata pendirian PKR
adalah jelas bahawa parti itu tidak menyokong deklarasi Mahathir.
"Tetapi terpulang kepada mana-mana individu sama ada untuk menyokong
deklarasi yang diterajui Dr Mahathir atau tidak," katanya kepada
BERNAMA. Kelmarin, sebuah portal media melaporkan Anwar menulis sepucuk
surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa deklarasi yang diterajui Dr
Mahathir sebagai tidak sempurna dan lari dari agenda reformasi sebenar.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment