Tuesday, May 17, 2016

Kerajaan Sokong Promosi Jenama Malaysia Di Peringkat Antarabangsa, Kata Najib

http://newsdata2.bernama.com/bernama/newspic/ek/najib%20uk%202.jpg
LONDON : Kerajaan Malaysia menyokong penuh sektor swasta dalam mempromosikan jenama Malaysia di pasaran antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata projek-projek seperti pembangunan semula stesen kuasa Battersea dan sekarang ini, projek Eco World di London, akan menyumbang kepada rancangan kerajaan untuk meningkatkan status Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun.

“Dan ini menunjukkan rakyat Malaysia boleh menjadi pemimpin dunia dan pencabar dunia dalam apa sahaja yang mereka bina, bekerja, berdagang, mengajar, atau mengambil bahagian dalam masyarakat tempatan dan ekonomi,” kata beliau.

Najib yang dalam rangka lawatan kerja ke UK, berkata demikian ketika berucap pada majlis menandakan kerja akhir pembinaan projek Legacy 1 di Embassy Gardens pada Isnin.

Legacy 1 adalah projek oleh pemaju hartanah Malaysia Eco World International.

Pada majlis itu, Najib disambut oleh Pengerusi Eco World Ballymore Holdings Company Tan Sri Liew Kee Sin, Pengerusi Eco World Management & Advisory Services (UK) Lord Jonathan Marland dan Pengarah Urusan Ballymore UK John Mulryan.

EcoWorld bekerjasama Ballymore Group untuk membangunkan tiga tapak utama di London.
Najib memuji usaha sama itu kerana ia juga telah memulakan kerja dalam dua projek lain, iaitu London City Island di Leamouth Peninsula di East London dan Wardian London.

“Pembangunan semula Battersea Power Station oleh konsortium Malaysia menjadi kebanggaan negara – London akan mendapat ‘Malaysia Square’. 

“Saya percaya kehadiran EcoWorld di ibu negara ini akan memperkukuhkan mesej yang Malaysia percayakan London,” kata beliau. 

EcoWorld melalui anak syarikat, Eco World Investment telah pada April 2015 memperoleh 75 peratus kepentingan dalam tiga tapak pembangunan di tepi sungai di London dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira dua bilion pound, yang terdiri daripada lebih 2,700 unit kediaman dan 250,000 kaki persegi ruang komersial, rekreasi dan pejabat.

Tiga projek berkenaan ialah Fasa 2 Embassy Gardens di kawasan Battersea Nine Elms, Fasa 2 London City Island di Canning Town, East London dan Wardian London di Canary Wharf.

Pemaju Ireland Ballymore Group memiliki baki 25 peratus daripada tiga tapak berkenaan melalui syarikat usaha sama Eco World-Ballymore Holding Company Ltd.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh EcoWorld berkata Fasa 2 Embassy Gardens dijangka menawarkan 709 unit kediaman persendirian dan 163 unit rumah mampu milik di tiga blok kediaman yang terdiri daripada sembilan hingga 23 tingkat.

Projek yang dilancarkan pada September tahun lepas telah mendapat sambutan baik dengan jualan 128.8 juta pound pada akhir Januari 2016.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment