Presidennya, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata pimpinan tertinggi parti itu belum memilih mana-mana calon untuk dua PRK serentak itu.
Namun beliau membayangkan minat parti itu bertanding di bawah payung Pakatan Harapan (PH).
"PH akan bersaing dengan sesiapa sahaja terutama BN dan sekutu BN," kata beliau.
Pakatan pembangkang itu menggabungkan DAP, PKR dan PAN yang ditubuhkan tahun lalu. PAN diasaskan oleh bekas pemimpin PAS termasuk Mohamad Sabu setelah mereka keluar daripada parti itu.
Permuafakatan PH menetapkan kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh PAS akan diambil alih oleh PAN termasuk Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Mohammad Sabu menegaskan PAN tidak boleh menyekat PAS daripada bertanding, justeru realiti saingan pelbagai penjuru untuk PRK itu perlu di akui.
"Kami dalam PH akan berusaha supaya tidak ada pertindihan calon seperti yang berlaku di Sarawak. Luar daripada PH kami tidak ada upaya untuk mengendalikan parti lain yang begitu banyak di Malaysia ini. Itu hak mereka.
"Tidak apa (jika ada saingan) tiga penjuru atau lima, ini pesta demokrasi, kita hormati. PH satu sahaja (calon). Tidak tahu lagi siapa akan jadi calon, mungkin bebas 13 orang, jadi kita tidak boleh menentukan," jelas Mohamad Sabu lagi.
Mohamad Sabu berkata PRK di dua kerusi parlimen itu dibincangkan oleh pimpinan tertinggi PAN hari ini namun "kami belum putuskan lagi calon."
“Sesiapa sahaja antara kami dan di luar daripada kami boleh menjadi calon," jelas Mohamad Sabu.
Ketua Pembangkang dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini mengesahkan parti itu mengadakan perbincangan dengan PAS untuk memastikan PRK berkenaan menyaksikan saingan satu lawan satu menentang BN.
Beliau berkata Majlis Presiden PH hanya akan mengambil ketetapan mengenai penyertaannya di Sungei Besar dan Kuala Kangsar setelah tiga parti komponen selesai merumuskan pendirian masing-masing.
Setakat ini hanya DAP menetapkan tidak akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan kerana kawasan berkenaan adalah majoriti Melayu.
Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang semalam menegaskan parti itu akan bertanding di dua kerusi berkenaan.
Beliau menggesa PAN untuk mengukur baju di badan sendiri sebelum mengambil keputusan untuk turut bertanding.
Mohamad Sabu berkata Hadi juga harus bermuhasabah mengenai peluang PAS.
"Sama-samalah ukur baju. Tiada ada masalah itu," ujar Mohamad Sabu.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun ini selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terlibat dalam nahas tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment