Monday, May 16, 2016
BN Tidak Gentar Dengan Provokasi Dr Mahathir – Zambry
Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan
provokasi dicetuskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
mahu pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang
akan berlangsung bulan depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Seri Dr Zambry
Abdul Kadir berkata adalah menjadi tanggungjawab anggota parti itu untuk
mempertahankan UMNO dan BN khususnya daripada sebarang provokasi dan
serangan pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kerajaan BN.
Menteri Besar Perak itu berkata apa yang penting ketika ini ialah
memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRK dengan mempertahankan
kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang BN sebelum ini dan juga
kerusi Parlimen Sungai Besar (Selangor).
“Dalam setiap PRK, sudah tentu adanya cabaran yang akan kita hadapi.
Jikalau dahulu cabaran datangnya daripada pembangkang namun kali ini
cabaran daripada bekas perdana menteri pula.
“Kita perlu menyusun (strategi) untuk berhadapan dengan cabaran
sedemikian. Saya lebih suka pendekatan yang diamalkan selama ini ketika
kita mengendalikan pilihan raya kecil atau pilihan raya umum di Perak,”
katanya.
Zambry bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke
syarikat industri penghasilan jentera, Bromma (Malaysia) Sdn Bhd di Zon
Perindustrian Bebas Kinta di Chemor yang turut dihadiri Pengerusi
Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk
Mohammad Zahir Abdul Khalid di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir
yang meletakkan harapan besar supaya parti pembangkang bersatu
meletakkan satu calon untuk menewaskan BN masing-masing di PRK Kuala
Kangsar dan Sungai Besar.
Sementara itu, Zambry memberi amaran tindakan tegas termasuk tindakan
dipecat akan diambil terhadap anggota UMNO yang menjadikan perbuatan
mensabotaj parti sebagai penghalang dalam usaha memenangi kerusi
Parlimen itu pada 18 Jun.
“Kita tidak boleh berkompromi sama sekali dengan mana-mana pihak yang
mengkhianati parti. Tindakan terhadap pengkhianat parti ialah dengan
mengeluarkan mereka daripada parti.
“Ini bukan dalam konteks BN sahaja kerana pembangkang juga akan
melakukan perkara yang sama jika anggota mereka didapati mensabotaj
parti,” katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan penyandangnya Datuk
Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter
di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. Turut terkorban dalam nahas itu
anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala
Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ianakala
penamaan calon pada 5 Jun.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment