Monday, May 16, 2016
PRK Sungai Besar : Pencalonan Dr Khir Bukan Lagi Isu Legaliti Tetapi Parti Mana
Desas-desus kencang sekarang ialah kemungkinan Dr
Mohamad Khir Toyo, bekas Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar dan bekas
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang akan membuat “comeback”
dalam Pilihan Raya kecil Sungai Besar pada Jun nanti.
Dr Mohamad Khir Toyo yang akan dibebaskan dari hukuman penjara pada
penghujung Mei ini layak bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan
bermula dengan penamaan calon pada 5 Jun 2016.
Laporan salah satu akhbar tempatan yang mendakwa bekas Menteri Besar Selangor dan Ketua UMNO Bahagian
Sungai Besar, Dr Mohamad Khir Toyo tidak layak bertanding jika tidak
mendapat pengampunan Di Raja adalah satu laporan yang menyesatkan.
Hukuman ke atas Dr Mohamad Khir ialah penjara 12 bulan dan dilucutkan
hak setakat mana miliknya ke atas lot banglo di Shah Alam.
Akhbar berkenaan memetik bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin
Mohd Yunus, bahawa berdasarkan Artikel 48 (1) (e) Mohamad Khir tidak
layak bertanding kecuali mendapat pengampunan Di Raja kerana telah
dihukum penjara 12 bulan.
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengenai kehilangan
kelayakan menjadi ahli Parlimen dalam fasal (e) menyebut apabila
“Seseorang itu telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu
mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang
termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan
dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu
tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak
mendapat pengampunan bebas”
Hukuman ini bukan sahaja menyebabkan penjawat jawatan hilang jawatan
tetapi juga mereka yang dikenakan hukuman tersebut dilarang dari
bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun, jika tidak mendapat
pengampunan.
Dalam kes Mohamad Khir, isu yang menjadi pertikaian ialah sama ada
hukuman penjara yang dikenakan selama 12 bulan atau setahun itu telah
menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding selama lima tahun.
Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus sebenarnya terkhilaf dalam
mentafsirkan artikel tersebut tanpa melihat keputusan Mahkamah Agung.
Memang dalam kes Fan Yew Teng v Setiausaha Dewan Rakyat pada tahun
1975, Fan telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah didenda
RM 2,000.00 dan enam bulan penjara.
Bagaimanapun tafsiran terkini dan paling tinggi telah
dilakukan oleh Mahkamah Agung Malaysia (Mahkamah tertinggi di Malaysia)
pada tahun 1993 dalam kes Pendakwaraya lawan Leong Yin Ming. Dalam kes
tersebut Mahkamah Agung memutuskan tafsiran undang-undang sesuatu yang
menyebut “not less than..” mestilah lebih dari had yang disebut.
Dalam kes tersebut Mahkamah Agung memutuskan “not less than five
years” (tidak kurang dari lima tahun) mesti membawa makna “five years
and one day onwards” (Lima tahun sehari dan ke atas).
Berdasarkan keputusan Mahkamah Agung yang tidak pernah dicabar
sehingga hari ini, maka Mohamad Khir Toyo hanya akan hilang kelayakan
jika beliau dihukum penjara 12 bulan dan satu Hari.
Keputusan Kes Mahkamah Agung ini juga dipegang oleh Mahkamah Tinggi
pada 2010, dalam kes Pendakwaraya lawan Tian Chua (Ahli Parlimen Batu)
yang didenda RM 2,000.00.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menegaskan pada penghakiman
bertulisnya bahawa denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua dari
PKR tidak akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen Batu.
Dalam penghakiman 18 muka surat tersebut, hakim itu memetik
sebahagian penghakiman hakim Mahkamah agung, Tan Sri Gunn Chit Tuan yang
berkata “Tidak kurang dari” seharusnya membawa maksud “lebih
daripada”.
“Maka dengan berpegang kepada keputusan dalam kes Mahkamah Agung di
atas, saya berpuas hati dan berpendapat bahawa denda RM2,000 itu tidak
menjadikan perayu hilang kelayakan beliau secara automatik kerana denda
untuk menjadikan beliau hilang kelayakan adalah RM2,001 ke atas dan
bukannya bermula daripada RM2,000.
“Keputusan Mahkamah Agung ini mengikat mahkamah rendah. Ia adalah
autoriti kukuh yang boleh diguna-pakai oleh mahkamah ini,” kata hakim
Ghazali.
Ada yang membangkitkan isu perlucutan hak beliau ke atas rumah tersebut sebagai denda.
Ini tidak relevan sama sekali kerana undang-undang dengan jelas
menyebut denda dalam bentuk wang ringgit iaitu RM 2,000 ke atas bukannya
nilai harta benda yang dirampas.
Justeru walau apa pun tafsiran The Sun dan bekas Hakim
Mahkamah Rayuan tersebut, secara legal, Mohamad Khir layak bertanding
dalam Pilihan raya ini sebaik sahaja beliau dibebaskan oleh penjara,
tanpa memerlukan sebarang pengampunan Di Raja.
Tanda Tanya
Justeru soalan yang lebih relevan ialah apakah Dr Mohamad Khir akan
membuat kejutan dalam Pilihan Raya Kecil ini atau meninggalkan terus
dunia politik tanah air.
Melihat kepada populariti Mohamad Khir di Sungai Besar, tidak
mustahil Mohamad Khir akan membuat misi “berani mati dalam kerjaya
politik” beliau buat kali terakhir.
Dalam Pilihan raya 2013, UMNO dan Barisan Nasional Sungai Besar
mengalami pukulan terbesar dalam sejarah mereka dengan majoriti untuk
parlimen dan kedua-dua DUN merosot begitu teruk berbanding 2008.
Ketika Barisan Nasional hilang lima negeri termasuk Selangor pada
2008, Parlimen Sungai Besar antara beberapa kawasan di seluruh negara
yang kekal kukuh.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Dato Noriah Kasnon menang
dengan majoriti 5,009 undi, Dr Mohamad Khir di DUN Sungai Panjang dengan
majoriti 5,828 undi. Malah Ng Sue Lim (DAP) hanya menang dengan
majoriti 190 di DUN Sekinchan.
Namun ketika seluruh negara mendapat nafas baru politik nasional
dengan perubahan kepimpinan negara, Parlimen Sungai Besar hampir
terlepas kepada Pakatan gara-gara kes membabitkan Ketua Bahagian mereka
Mohamad Khir Toyo.
Pada 2013, majoriti untuk Parlimen SUNGAI BESAR hanya 399 undi
biarpun diwakili oleh penyandang jawatan yang juga Timbalan Menteri.
Majoriti DUN Sungai Besar hanya tinggal 2,183, menakala DUN Sekinchan
telah meningkatkan majoriti DAP kepada 2,239.
Pada 2013, Barisan Nasional Sungai Besar kehilangan hampir lima ribu
majoriti tahun 2008, biarpun dengan imej Barisan Nasional yang lebih
baik dan berjaya merampas beberapa Parlimen di Selangor seperti Kuala
Selangor dan Hulu Selangor.
Justeru jika Mohamad Khir mahukan keyakinan, statistik ini mungkin
boleh memberi beliau keyakinan, walaupun ia bukan satu kepastian untuk
pola pengundian dalam PRK akan datang ini.
Jika Mohamad Khir memutuskan untuk mencuba nasib, apakah Barisan
Nasional dan UMNO akan mencalonkan beliau? Atau mungkinkah beliau
bertanding sebagai calon bebas untuk “membalas dendam” kepada kepimpinan
UMNO?
Malah tidak mustahil jika kejutan yang lebih besar ialah beliau
bertanding atas tiket Pas berdasarkan hubungan baik beliau dengan Pas
kawasan dan beberapa rakannya dalam Pas Pusat sekarang.
Sudah tentu pada 5 Jun 2016 nanti lebih ramai akan menumpukan mata ke
Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Apakah bekas Ahli Majlis
Tertinggi UMNO undi tertinggi ini akan membuat satu kejutan segera
seperti mana beliau menulis pendedahan yang mengejutkan dalam artikel
terakhir sebelum beliau dipenjarakan.
Hanya masa akan menentukan...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment