Friday, May 20, 2016
Exco PAS Selangor Diminta Berundur?
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar
mula mencetuskan konflik dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor apabila
tiga Exco Kerajaan Negeri daripada Pas dikatakan menerima tekanan
meletakkan jawatan jika parti mereka membuat keputusan untuk bertanding
di kawasan tersebut.
Tiga Exco berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas
Tani, Zaidy Abdul Talib; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan,
Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad dan
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu &
Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr. Ahmad Yunus
Hairi.
Walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
menafikan desas-desus tersebut, namun kenyataan beberapa pemimpin kanan
Pas seolah-olah mengesahkan tekanan tersebut berlaku.
Biarpun tidak merujuk secara langsung apa yang sedang berlaku di
Selangor, mereka menyifatkan politik ugutan yang diamalkan oleh pakatan
pembangkang sebagai perilaku samseng.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, politik ugutan sangat
tidak harmoni untuk diamalkan dalam orientasi politik negara apatah
lagi yang dipraktikkan terhadap pihak rakan.
“Justeru politik ugut ini sebahagian daripada perilaku samseng
politik dan juga adalah peribadi pembuli politik. Andai amalan sebegini
dijadikan budaya dalam politik maka pincanglah peradaban kita,” katanya
dalam catatan di laman Facebook miliknya, di sini hari ini.
Media difahamkan tekanan ke atas tiga Exco Pas yang berada
dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu mula tercetus apabila
parti tersebut melalui kepemimpinan kanan termasuk Presiden, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dan Timbalan beliau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
bertegas bahawa Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi parti itu.
Oleh itu mereka menolak sebarang rundingan sama ada dengan PKR, DAP mahupun PAN berhubung perkara tersebut.
Mohamed Azmin sebelum ini mencadangkan supaya Pas berunding dengan
pakatan pembangkang berikutan kekalahan teruk pakatan itu dalam Pilihan
Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr.
Mohd. Khairuddin Aman Razali turut mengingatkan semua pihak supaya tidak
perlu menjadi samseng politik dengan mengambil tindakan ugut-mengugut.
“Insya-Allah, Pas tetap bertanding di kawasan Kuala Kangsar dan
Sungai Besar. Itu keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat
minggu lepas.
“Bertawakallah kepada Allah. PAS membawa mesej dakwah dan politik
Islam. Tidak ada orang yang rugi jika membawa mesej ini,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula meminta pakatan pembangkang menghormati parti itu.
‘‘Hormati kami jika kami menolak rundingan ‘mi segera’ yang sekadar
memaksa kami melepaskan hak berasaskan kerusi pilihan raya umum 2013.
“Kalau masing-masing mahu tunjuk belang, biarlah kami kekal bulan.
Bulan adalah rawatan alam daripada sekelian kejadian di bumi tuhan,’’
katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin yang diminta mengulas
desas-desus berhubung perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco kerajaan negeri menegaskan, dakwaan beliau mengugut tiga exco Pas
itu adalah tidak benar.
“Tidak benar. Perkara itu tidak berlaku (ugut singkir Exco Pas).
Sekarang ini fokus kita bincang kerusi dulu. Perbincangan juga masih
berjalan dan saya ada jumpa PAN hari ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment