Friday, May 20, 2016

Seruan Mahathir Umpama ‘Bapa Bunuh Anak Sendiri’... Hilang Hormat Pada Mahathir

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat menolak calon Barisan Nasional (BN) pada dua pilihan raya kecil bulan depan umpama seorang bapa yang sanggup membunuh anak yang dibesarkannya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata bekas perdana menteri itu kini sanggup melibatkan rakyat pula untuk menolak BN setelah perjuangannya dilihat tidak mendapat sambutan daripada pemimpin pembangkang.

“Saya lihat pembangkang pun tidak mahu berkawan dengan dia dan pihak kerajaan dari BN pun kecewa dengan beliau.

“Beliau (Dr Mahathir) dilihat sebagai keseorangan sekarang ini sehingga sanggup membunuh anak (BN) yang dilahir dan dibesarkan serta menyeru orang ‘membunuh anaknya sendiri”,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen Selasa.

Dr Mahathir dalam satu majlis di Stadium Melawati, Selangor baru-baru ini dilaporkan meminta rakyat menolak calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Dr Mahathir telah menunjukkan ketidakikhlasan beliau.

“Kami sebelum ini menghormati beliau sebagai seorang pemimpin negara ini selama 22 tahun, kini beliau menyatakan beliau mahu BN kalah dalam dua pilihan raya kecil ini. Ini jelas menunjukkan ketidakikhlasan beliau,” katanya.

Ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita mengenai surat yang didakwa mengandungi amaran bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin PKR tentang bahaya bekerjasama dengan Dr Mahathir, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata Anwar sudah pasti arif akan perangai sebenar bekas perdana menteri itu.

“Saya fikir Datuk Seri Anwar yang menjadi mangsa Dr Mahathir bertahun-tahun lalu, beliau tahu apa yang dikatakannya,” katanya.

Anwar telah menulis surat kepada para pemimpin PKR dengan beliau menyifatkan deklarasi Mahathir pada dasarnya cacat dan tidak selaras dengan agenda reformasi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment